oleh: Nurin Aqilah

Slim River, 13 Jun 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam memperkasakan pendidikan berteraskan teknologi dan inovasi menerusi penganjuran Program ROBOSQUAD: Build, Code, Conquer 2.0 yang berlangsung pada 12 dan 13 Jun 2025 bertempat di SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River, Perak.

Program ini merupakan inisiatif Exco Media, Publisiti dan Informasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2024/2025 dengan kerjasama Fakulti Teknologi dan Vokasional UPSI.

Program ini menyasarkan pelajar tingkatan satu sebagai peserta utama dengan matlamat untuk membina asas kukuh dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menyemai minat terhadap dunia robotik dan elektronik asas.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali (hands-on), pelajar diberi peluang meneroka teknologi dalam suasana baharu berserta bimbingan dari guru yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.

Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta telah menyertai beberapa aktiviti utama yang dirangka secara sistematik.

Antaranya ialah sesi pengenalan STEM dan Arduino, yang bertujuan memperkenalkan pelajar kepada konsep asas papan mikro pengawal (microcontroller) serta aplikasinya dalam kehidupan harian.

Penerangan ini membantu pelajar memahami peranan teknologi dalam pelbagai sektor seperti automasi rumah, pertanian pintar dan sistem keselamatan.

Bengkel sensor cahaya dan lampu LED turut diadakan dalam aktiviti tersebut, yang menekankan konsep input dan output dalam sistem elektronik.

Pelajar belajar membina litar yang boleh bertindak balas terhadap perubahan cahaya sekeliling satu aplikasi asas dalam bidang automasi. Guru pengiring yang turut hadir sepanjang program menyatakan, “Program ROBOSQUAD: Build, Code, Conquer 2.0 memberikan peluang terbaik untuk pelajar mendalami konsep STEM secara praktikal.

Saya kagum dengan semangat dan fokus pelajar sepanjang program. Aktiviti yang disusun rapi memudahkan pelajar memahami aplikasi teknologi dalam kehidupan seharian, serta mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Sebagai seorang pendidik, saya melihat program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal pelajar, malah membantu mereka membentuk nilai murni seperti kerjasama dan kesabaran.

Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah lain”

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Danial, mengucapkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian peserta sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata, “Kami berhasrat untuk menyediakan platform pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna bagi pelajar. ROBOSQUAD 2.0 bukan sekadar program akademik, tetapi juga wadah untuk melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Kejayaan program ini menjadi motivasi kepada kami untuk terus mengembangkan inisiatif sebegini di masa hadapan.”

Program ROBOSQUAD 2.0 ini juga menyokong pelaksanaan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) yang menekankan kepentingan pendidikan menyeluruh dan inklusif, serta SDG 9 (Inovasi dan Infrastruktur) yang mendorong pembangunan teknologi dan inovasi sejak peringkat awal pendidikan.

Pendekatan holistik ini bukan sahaja memberi ilmu teknikal kepada pelajar, malah turut membentuk sahsiah dan semangat kepimpinan.

Melalui penganjuran program ini, pelajar bukan sekadar belajar memasang litar dan mengenal komponen elektronik, tetapi turut diasuh untuk menjadi pemikir kreatif dan inovatif.

Penglibatan secara langsung dalam pembelajaran memberi ruang kepada mereka untuk lebih yakin, berani mencuba serta terbuka menerima cabaran.

Secara konklusinya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar berharap agar program seumpama ini akan terus dikembangkan ke lebih banyak sekolah, sekaligus melahirkan generasi muda celik teknologi yang mampu memacu kemajuan negara di era Revolusi Industri 4.0 dan menuju masa depan mampan.