Oleh: Robe’ah Yusuf

Elmshorn, Jerman, 15 Jun 2025 – Pasukan Sepak Takraw Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada pelajar-pelajar Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan telah muncul juara dalam Dragons Cup 2025 iaitu sebuah kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa yang berlangsung di Elmshorn, Jerman pada 14 hingga 15 Jun 2025.

Keunggulan pasukan UPSI jelas terserlah dalam perlawanan akhir apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah tanpa kalah dalam kedua-dua kategori berdua dan regu.

Kejayaan ini membuktikan ketahanan diri dan kemahiran teknikal yang tinggi dalam kalangan pemain UPSI, meskipun berhadapan dengan lawan yang mempunyai kelebihan fizikal. Pasukan tuan rumah dan kelab tempatan dari Elmshorn memberikan saingan sengit pada sepanjang kejohanan.

Kejohanan tersebut disertai oleh 17 pasukan dari seluruh Eropah termasuk Perancis, Belgium dan Switzerland.

Dalam pusingan awal, UPSI berjaya menumpaskan juara bertahan dari Universiti Heidelberg, Jerman dengan keputusan 2–0. Di perlawanan akhir, UPSI sekali lagi cemerlang apabila menewaskan kelab tempatan dari Elmshorn yang dikendalikan oleh jurulatih terkenal Jerman dengan keputusan 2–0.

Lebih mengujakan, pelajar-pelajar dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI turut diberi penghormatan mempersembahkan kompang dan tarian tradisional semasa majlis pembukaan, sekali gus memperkenalkan budaya Malaysia kepada para peserta antarabangsa.

Selain menyertai kejohanan ini, pasukan Sepak Takraw UPSI turut mengadakan demonstrasi permainan di University of Hamburg dan melaksanakan bengkel di beberapa buah sekolah iaitu Boje Steffenschule, Anne Frank Schule dan KGSE Schule.

Penganjuran bengkel ini mendapat bimbingan bahasa daripada Dr. Robe’ah Yusuf dan tunjuk ajar daripada En. Mohd Fadzlan Shah.

Selaku jurulatih, En. Mohd Fadzlan Shah menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil daripada latihan intensif dan strategi gelanggang yang terancang. Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar pemain UPSI untuk terus berkembang pada peringkat antarabangsa.

Menurut Dr. Mohd Amir selaku pegawai pengiring, kejayaan ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada atlet muda Malaysia, malah turut membuka ruang kerjasama sukan yang lebih erat antara Malaysia dan Jerman.

Sebagai melengkapkan misi lawatan, UPSI turut mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Malaysia di Jerman serta bertemu wakil pengurusan University of Hamburg bagi membincangkan potensi kerjasama dua hala pada masa hadapan.