OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON DAN ADLI IRFAN BIN RADZI

Tanjong Malim, 30 April 2025 – Semangat prihatin dan kesukarelawanan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terserlah menerusi Program Santun Masyarakat bertemakan “Jom Sihat Selalu, Komuniti Ceria” yang telah berjaya dianjurkan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Tanjong Malim baru-baru ini.


Program inisiatif pelajar Program Pendidikan Khas (AT10) ini mengangkat nilai kasih sayang antara generasi dengan memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, kreativiti dan interaksi sosial dalam kalangan warga emas.

Pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan seperti senamrobik, water sort puzzle, matching colour bottle, decorate muffin, silent show serta lukisan jiwa. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menyokong kesihatan fizikal, stimulasi kognitif dan kesejahteraan emosi peserta. “Kami bukan hanya ingin menggembirakan warga emas, tetapi juga belajar dari mereka. Ini pengalaman berharga yang membina kemahiran insaniah kami,” ujar salah seorang pelajar yang terlibat. Program ini telah menjadi medan pembelajaran bermakna buat mahasiswa yang berpeluang menerapkan teori pembelajaran, nilai profesionalisme keguruan serta memupuk sifat mulia seperti empati, toleransi dan semangat kerjasama.


Melalui interaksi secara langsung bersama warga emas, mahasiswa lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan berusia termasuk isu keterasingan sosial dan keperluan untuk diberi perhatian emosi dan komunikasi.


Inisiatif ini turut berperanan sebagai jambatan penghubung antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat, memperkukuh kerjasama dua hala yang saling menguntungkan. Dalam masa yang sama, ia membantu membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berjati diri, beretika dan bersedia berkhidmat untuk masyarakat.


Program ini membuktikan bahawa pendidikan tidak hanya terbatas di bilik kuliah tetapi meliputi pembangunan sahsiah, kemanusiaan dan kesedaran sivik yang menyeluruh.