Oleh : Dr. Vestly Kong Liang Soon & Muhammad Uwais bin Abdul Razak

Tanjong Malim, 11 Jun 2025 – Seramai 20 pelajar dari program Kod Tangan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam pertandingan International Innovation Competition in Social Sciences Education (IINOSAS) 2025 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI itu menyaksikan penyertaan serantau dengan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara. Pertandingan ini memberi fokus kepada inovasi pendidikan dalam pelbagai kategori termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, kajian tindakan dan inovasi mahasiswa. Pelajar Kod Tangan yang dibimbing oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon telah mengetengahkan inovasi bahan bantu mengajar (BBM) khusus untuk murid ketidakupayaan pendengaran melalui video pembentangan BBM dan poster digital yang dihantar secara dalam talian.

Kumpulan yang membawa pulang pingat emas turut dianugerahkan Best Poster Award, menjadikan mereka antara peserta yang paling menyerlah dalam edisi tahun ini. Pencapaian penuh pelajar Kod Tangan UPSI dalam pertandingan IINOSAS 2025 amat membanggakan. Inovasi bertajuk “Knock-Knock Colours” (UID196) telah meraih Pingat Emas serta dinobatkan sebagai penerima Anugerah Poster Terbaik. Seterusnya, dua inovasi lain iaitu “The Shape Show” (UID194) dan “Rasa Kita: Inside Out” (UID195) masing-masing menerima Pingat Perak. Manakala inovasi “Farm Miniature” (UID192) dan “Tanya-Tanya Quack” (UID193) turut mencatat kejayaan apabila berjaya memperoleh Pingat Gangsa.

Penyertaan aktif dan pencapaian cemerlang ini membuktikan komitmen dan daya inovasi pelajar UPSI dalam bidang pendidikan khas, khususnya dalam menyokong keperluan pembelajaran murid ketidakupayaan pendengaran.

Dr. Vestly Kong Liang Soon yang juga pensyarah kursus Kod Tangan 1 (KBD3063) menzahirkan rasa bangga atas dedikasi dan kerjasama semua pelajar yang terlibat. Beliau menyifatkan kemenangan ini sebagai pencetus semangat untuk terus menghasilkan inovasi pendidikan yang inklusif dan memberi nilai tambah kepada dunia pendidikan khususnya dalam bidang pendidikan khas.