Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon, Chong Ai Peng, Nadzimah binti Idris

TAI PO, HONG KONG, 20 Mei 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama negara apabila terlibat sebagai penganjur bersama dalam “Bridging Borders Through Technology: Belt & Road Conference on Special Education” yang berlangsung di The Education University of Hong Kong (EdUHK), dengan kerjasama SDU University, Kazakhstan dan EdUHK selaku tuan rumah.

Persidangan yang dianjurkan secara hibrid oleh Integrated Centre for Wellbeing (I-WELL) dan Department of Special Education and Counselling (SEC) EdUHK ini menghimpunkan hampir 250 peserta dari Hong Kong, Asia Tengah, Asia Tenggara, dan tanah besar China, termasuk cendekiawan, pendidik, usahawan serta pakar industri pendidikan khas.

UPSI turut memainkan peranan penting dalam persidangan ini dengan menghantar dua orang ahli akademik sebagai penceramah utama (keynote speakers) iaitu Prof Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta Dr. Nurbieta binti Abd Aziz, Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Khas. Dr. Abdul Halim bin Masnan membentangkan tajuk “Transdisciplinary Model Between Family, Specialist, and Teacher in Inclusive Preschool Education Program in Multi-Ethnic Malaysia”, manakala Dr. Nurbieta binti Abd Aziz membincangkan amalan berasaskan bukti melalui tajuk “Video Modelling: Evidence-Based Practices for Children with Autism”.

Turut hadir secara fizikal ialah Prof. Madya Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim (Dekan Fakulti Pembangunan Manusia), Dr. Kway Eng Hock (Ketua Jabatan Pendidikan Khas) dan Dr. Seah Siok Peh (Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak) sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama serantau dalam bidang pendidikan khas.


Dua pelajar PhD dari UPSI turut menyumbang secara aktif dalam sesi perkongsian penyelidikan, membentangkan kajian terkini mereka yang berkaitan pendidikan khas. Nadzimah binti Idris memperkenalkan kajiannya bertajuk “Digital Entrepreneurship for Special Needs”, manakala Chong Ai Peng membentangkan inovasi bertajuk “CAMIL Revolutionizes Deaf and Hard of Hearing (DHH) Learning in Metaverse”, yang mengetengahkan potensi teknologi imersif untuk murid ketidakupayaan pendengaran.

Dalam pameran pula, UPSI melalui Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia, bekerjasama dengan BrainScience Academy untuk mempamerkan produk inovatif berasaskan neurofeedback bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Pameran ini turut disertai oleh lapan organisasi dari Malaysia dan Hong Kong termasuk NGO dan syarikat EdTech, yang mempamerkan penyelidikan dan inovasi terkini dalam pendidikan inklusif.

Presiden EdUHK, Prof. John Lee Chi-Kin, dalam ucapan pembukaan secara video, menekankan pentingnya platform seperti ini dalam merapatkan jurang kolaborasi antara negara-negara di bawah inisiatif Belt and Road, khususnya dalam bidang teknologi pendidikan khas dan dasar pendidikan inklusif global.


Dengan lebih 37 sesi pembentangan dan 3 tema utama AI, Teknologi dan Inklusiviti dalam Pendidikan’, ‘Pendidikan Khas, Pedagogi, Intervensi Psikologi’ dan ‘Dasar Pendidikan Inklusif, Sejarah dan Perspektif Global, persidangan ini berjaya membuka ruang wacana akademik dan kerjasama transnasional yang lebih mantap.