Oleh: Nor Syazwani Mohamad Zainal

Tanjong Malim, Perak, 18 Jun 2025 – Dalam suasana yang hening dan penuh pengharapan, Majlis Apresiasi Pelajar dan Munajat Qalbu anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan penuh makna di Ruang Legar Bitarasiswa, UPSI.

Sesi pendaftaran peserta berlangsung dengan lancar sebelum majlis bermula

Program ini bukan sekadar wadah menghargai kejayaan akademik, tetapi menjadi medan penyatuan dua dunia, kecemerlangan ilmu dan ketenangan qalbu, seiring mendepani musim peperiksaan yang kian menjelang. Ia adalah usaha yang menyulam penghargaan dengan keinsafan, membina jiwa mahasiswa bukan sekadar pada angka CGPA, tetapi juga pada nilai rohani dan kebergantungan kepada Yang Maha Esa.

Majlis dimulakan dengan solat berjemaah dan bacaan Yasin sebagai pembuka tirai

Majlis dimulakan dengan Munajat Qalbu, ibarat malam yang diterangi cahaya ruhani. Alunan Surah Yasin, solat taubat dan solat hajat berjemaah, disusuli zikir munajat dan doa khas peperiksaan, menyelubungi ruang dengan aura ketenangan yang sukar digambarkan. Getar suara dan linangan air mata menggambarkan betapa mahasiswa hari ini bukan hanya pencari ilmu, tetapi juga pencari Tuhan dalam setiap langkah perjuangan.

Mengukuhkan lagi pengisian malam tersebut ialah perkongsian oleh Yang Dipertua Kelab Sahabat Ulul Albab, Muhammad Nor Afzan Emran, yang menyentuh topik bertajuk “Pergantungan kepada Allah S.W.T.”. Ucapannya menyuntik kesedaran bahawa kejayaan sebenar bermula apabila hati bertaut kepada Yang Maha Kuasa.

Majlis diteruskan dengan kata-kata inspirasi oleh Dr. Samsuddin Abd. Hamid, Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab, yang menegaskan bahawa kecemerlangan tidak boleh berdiri sendiri tanpa tiang spiritual. “Jadikan kejayaan itu satu budaya, bukan sekadar episod menjelang peperiksaan,” ujar beliau penuh makna.

Kemuncak program adalah penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar cemerlang, 70 permata ilmu yang berjaya meraih Anugerah Dekan dan Anugerah Kelas Pertama, dibahagikan kepada dua kategori: CGPA 3.50–3.69 dan CGPA 3.70–4.00. Setiap nama yang diumumkan bukan hanya satu kejayaan individu, tetapi satu inspirasi buat rakan-rakan seperjuangan.

Para penerima anugerah menyifatkan program ini sebagai satu suntikan semangat yang luar biasa, menyatukan ilmu dan iman dalam satu majlis yang penuh kasih sayang dan ukhwah. Kebersamaan dalam sujud dan senyum, doa dan kejayaan, telah membentuk satu memori kolektif yang akan kekal tersemat dalam ingatan.

Majlis Apresiasi Pelajar dan Munajat Qalbu bukan sekadar program rutin, ia adalah taman hati, tempat benih ketulusan disemai, dan akar motivasi ditanam. Diharapkan ia menjadi tradisi yang terus subur, menyokong aspirasi UPSI melahirkan insan holistik yang seimbang dari segi intelek, emosi, dan spiritual.