Oleh: Muhammad Syafiq Razali
TANJONG MALIM, Isnin, 23 Jun 2025 – Persatuan Geografi UPSI (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmen dalam mendidik generasi muda melalui penganjuran kali ketiga program “Jungle Pop-Up Explorers” yang berlangsung dengan meriah di Tadika Bitara UPSI. Program ini dirangka khusus untuk memperkenalkan konsep asas geografi dan pemuliharaan alam sekitar kepada kanak-kanak prasekolah melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan berimpak tinggi.
Edisi kali ketiga ini melibatkan penyertaan murid prasekolah dari kelas 5 Aster, dengan sokongan dan penglibatan aktif enam orang pelajar Kursus Latihan Ikhtisas (KLIK) UPSI yang bertindak sebagai fasilitator dan pembimbing aktiviti sepanjang program berlangsung. Setiap aktiviti turut dipantau oleh guru pembimbing kelas 5 Aster bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan sesi pembelajaran dijalankan dalam suasana yang ceria dan kondusif.


Bertemakan “Meneroka Alam, Membina Minda Si Cilik”, program ini memberi peluang kepada murid-murid untuk menyelami keunikan alam semula jadi Malaysia melalui penggunaan buku pop-up interaktif yang direka khas oleh pelajar Geografi UPSI. Buku ini bukan sekadar menyampaikan informasi, tetapi juga menampilkan rekaan visual timbul dan naratif bergambar yang menghidupkan suasana eksplorasi sebenar di dalam bilik darjah.


Menariknya, program ini turut memperkenalkan pelbagai teknologi pendidikan moden seperti paparan hologram haiwan, kad imbas 4D, permainan padanan haiwan dan rantaian makanan serta pengalaman realiti maya (VR) yang membolehkan murid meneroka alam hutan secara maya. Gabungan elemen visual, fizikal dan digital ini membentuk pendekatan pembelajaran holistik yang merangsang kemahiran kognitif, sosial dan imaginatif kanak-kanak.
Menurut penyelaras program, Jungle Pop-Up Explorers 3.0 merupakan kesinambungan daripada kejayaan dua edisi terdahulu dan membuktikan bahawa pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman mampu menyampaikan nilai-nilai pemuliharaan dengan cara yang lebih berkesan. Beliau turut menekankan bahawa program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah turut menjadi platform latihan amali yang signifikan bagi pelajar KLIK dalam mengaplikasikan kemahiran pedagogi secara langsung.
Guru pembimbing kelas 5 Aster turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif ini dan melihatnya sebagai pelengkap yang berharga kepada pembelajaran harian murid. Pendekatan luar bilik darjah yang digabungkan dengan teknologi moden ini dianggap mampu meningkatkan minat, tumpuan dan kefahaman murid terhadap kandungan pembelajaran yang biasanya bersifat abstrak.
Dengan kejayaan penganjuran Jungle Pop-Up Explorers 3.0 ini, PERGEO berhasrat untuk terus memperluas pelaksanaan program ke tadika lain di sekitar Tanjong Malim dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Program ini diharap dapat menjadi model pengajaran luar kelas yang inovatif, menyeronokkan dan relevan dalam mendidik generasi masa depan yang celik alam sekitar dan teknologi.
