Oleh: Anis Suraya Muhammad, Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Dr. Azi Azeyanti  Jamaludin & Dr. Nur Munira Azman

BUKIT FRASER, 22 JUN 2025 – Seramai lebih 30 pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia telah menyertai Program Kem Biodiversiti yang berlangsung di Bukit Fraser, Pahang, baru-baru ini. Program ini merupakan sebahagian daripada acara tahunan Fraser’s Hill International Bird Race yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Tourism Pahang. Turut terlibat dalam penganjuran program ini ialah Pusat Biodiversiti dan Konservasi (CeBEC) serta sekumpulan fasilitator yang terdiri daripada pelajar kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) dan Persatuan Geografi (PERGEO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Selain bertindak sebagai fasilitator, kumpulan pelajar UPSI ini turut berperanan sebagai sukarelawan sepanjang berlangsungnya Fraser’s Hill International Bird Race 2025.

Barisan pelajar daripada CeBEC, RAS dan PERGEO telah memainkan peranan penting dalam membimbing para peserta secara langsung sepanjang pelaksanaan pelbagai aktiviti kesedaran biodiversiti dalam kem tersebut. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah nature walk, yang membawa peserta menyusuri laluan sekitar Bukit Fraser bagi mengenali secara dekat kepelbagaian flora dan fauna tempatan. Dalam aktiviti ini, para pelajar bertindak sebagai pemandu interpretatif, memperkenalkan spesies tumbuhan dan haiwan yang mendiami hutan montane, serta menerangkan hubungan ekologi antara organisma dan persekitaran semula jadi mereka.

Antara aktiviti menarik lain yang turut dijalankan ialah sesi lukisan bird topography, iaitu pengenalan kepada struktur luaran burung bagi tujuan pengecaman spesies, khususnya semasa pertandingan Bird Race. Sesi ini dikendalikan oleh Ornitologis UPSI, Dr. Nur Munira Azman, yang membimbing para pelajar dalam memahami ciri-ciri morfologi asas seperti bentuk paruh, warna bulu, saiz badan dan ekor. Pelajar turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti burung menggunakan buku panduan dan teropong. Aktiviti ini diserikan lagi dengan sesi melukis burung, yang menjadi medium kreatif untuk pelajar mendekati dunia ornitologi secara lebih teliti dan mendalam.

Selain itu, pelajar daripada CeBEC, RAS dan PERGEO turut memainkan peranan penting dalam mengendalikan aktiviti pemantauan kualiti air di Allan’s Water, yang bertujuan memberi pendedahan saintifik kepada peserta mengenai kepentingan menjaga sumber air serta impak pencemaran terhadap biodiversiti akuatik. Dalam sesi ini, peserta diperkenalkan kepada teknik-teknik pengambilan sampel air dan kaedah analisis in situ menggunakan kit pengukuran lapangan. Antara parameter yang diukur termasuklah oksigen terlarut (DO), keperluan oksigen biokimia (BOD), nitrat (NO₃), fosfat (PO₄), pH, suhu air dan kekeruhan (turbidity). Para peserta turut diberi tugasan berkumpulan untuk membentangkan dapatan kajian mereka, sekali gus mencungkil idea, memperkukuh pemahaman konsep saintifik secara praktikal, serta melatih pemikiran kritis dan keyakinan diri melalui pembentangan yang interaktif dan berstruktur.

Secara keseluruhan, penglibatan aktif CeBEC, RAS dan PERGEO dalam kem ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, malah turut menyemai minat mendalam terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui pendekatan praktikal. Komitmen tinggi serta semangat sukarelawan yang ditunjukkan menjadi sumber inspirasi kepada para peserta untuk lebih peka terhadap isu alam sekitar dan terlibat secara aktif dalam usaha melindungi biodiversiti. Program ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform pendidikan luar bilik darjah yang berkesan, dengan peranan CeBEC, RAS dan PERGEO menjadi tunjang utama kejayaan penganjurannya. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan demi manfaat generasi muda dan kelestarian alam sekitar negara.