Oleh: Ilham Nafisa Abdul Samad & Diana Syariena Hasan

TANJONG MALIM, 15 Januari 2025- Program Mission Terra: Pendidik Cakna, Biodiversiti Terpelihara telah dilancarkan di SMK Proton City dengan disertai seramai 98 orang pelajar. Program ini memfokuskan kesedaran dan tindakan praktikal dalam pemuliharaan biodiversiti melalui pendidikan inovatif dan aktiviti konservasi. Program Mission Terra ini telah bermula pada 15 Disember 2024 dan berakhir pada 18 Mei 2025.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan bagi melahirkan bakal-bakal guru yang cakna akan kepentingan biodiversiti kepada hidupan dengan berteraskan elemen dalam inovasi sosial program “Semarak Siswa Madani” dengan menumpukan kepada nilai cakna ilmu, peduli alam, patriotisme hijau, dan jati diri harmoni.

Mission Terra menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 4, yang memberi fokus kepada penyediaan pendidikan berkualiti dan relevan tentang biodiversiti dan SDGs 15, iaitu melindungi, memulihkan dan menggalakkan penggunaan lestari ekosistem daratan, menguruskan hutan secara mampan, memerangi penggurunan, menghentikan dan memulihkan kemerosotan tanah serta menghentikan kehilangan biodiversiti.

Antara aktiviti yang telah diadakan bagi meningkatkan pengetahuan awal tentang biodiversiti adalah kombinasi antara subjek kesusasteraan dengan sains iaitu pelajar mereka pantun mengenai biodiversiti serta alam sekitar. Selain itu, pelajar dapat merasai sup labu yang diadaptasikan daripada harimau yang merupakan lambang aset negara yang patut dilindungi dan dijaga warisannya serta pelbagai aktiviti yang menarik.

Puan Siti Faridah Othman, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Proton City menyatakan bahawa kesedaran di kalangan generasi muda dapat ditingkatkan dengan membantu pelajar memahami kepentingan biodiversiti.

“Program ini juga memupuk sikap tanggungjawab generasi muda untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi dan memulihara biodiversiti serta melahirkan generasi muda yang sentiasa prihatin dan menghargai kepelbagaian biodiversiti.”

Program ini turut selari dengan aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memperkukuh ekosistem pendidikan, mempelbagaikan perkongsian ilmu, dan mengantarabangsakan pendidikan tinggi. Penglibatan aktif guru memainkan peranan penting dalam menggerakkan komuniti sekolah dan masyarakat untuk bersama-sama melaksanakan usaha pemuliharaan.

Mission Terra tidak hanya bertujuan mendidik peserta tentang biodiversiti tetapi juga melatih mereka menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing. Gabungan pembelajaran teori dan praktikal diharap mampu mencipta kesan jangka panjang terhadap pemuliharaan alam sekitar. Kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama berterusan antara pelajar, guru, dan komuniti.

Aktiviti Konservasi Edu-Forest di bawah program Mission Terra: Pendidik Cakna , Biodiversiti Terpelihara telah diadakan di Edu Forest UPSI, Kampung Sungai Dara, Slim River pada dua hari berturut- turut 17 dan 18 Mei lalu.

Profesor Madya Dr. Fatimah Mohamed memperkenalkan ciri-ciri morfologi tumbuhan kepada pelajar

Program yang melibatkan 28 orang mahasiswa ini adalah sebahagian inisiatif pelajar menerapkan kesedaran dan tindakan praktikal dalam pemuliharaan biodiversiti melalui pendidikan inovatif dan aktiviti konsevasi hutan.

“Pelajar perlu mengenal pasti ciri-ciri pada suatu tumbuhan dengan menggunakan deria bau melihat, bau dan sentuhan sebelum mengutip sampel dan menjalankan proses herbarium.”

Pelajar melakukan aktiviti Plant Tagging
Pelajar meletakkan perangkap untuk aktiviti Build, Catch, Trap BTR Ecocatch

Pada hari berikutnya, para pelajar meneruskan aktiviti skyview iaitu aktiviti mencerap burung yang dikendalikan oleh Dr. Nur Munira Azman dan Dr. Noraine Salleh Huddin. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah sebagai pengenalan kepada kepelbagaian spesies burung yang ada di Edu-Forest ini dengan memberi gambaran kepada habitat dan tingkah laku burung tersebut. Selain itu, memberikan pemahaman tentang ekosistem dan biodiversiti yang ada di sana.

Dr. Nur Munira dan Dr. Noraine sedang menerangkan cara penggunaan apliksai ebird untuk mengisi jenis burung yang dapat dilihat beserta jumlah yang ada di sekitar tersebut
Para pelajar menjalankan aktiviti Mushroom Mania bagi melihat sendiri tentang kepelbagaian jenis cendawan liar yang ada di hutan tersebut.

Seterusnya, aktiviti pemasangan kamera “camera trap” untuk menerokai di samping merekod kehadiran dan tingkah laku haiwan yang terdapat di Edu-Forest. Dengan itu, para pelajar memperoleh pengetahuan tentang teknologi pemasangan kamera serta memberi kesedaran tentang pentingnya melindungi biodiversiti hutan.

Aktiviti yang terakhir adalah penyelidikan tanah dan air bagi mengenalpasti kualiti tanah dan air di hutan untuk merancang pemuliharaan yang sesuai kerana merupakan elemen penting dalam menyokong biodiversiti hutan serta menggalakkan mengurus sumber air dengan lestari.

Majlis penutupan Program Mission Terra yang berlangsung pada 28 Mei 2025  di Dewan Banquet DTC, UPSI. “Saya difahamkan bahawa program ini mempunyai gabungan 3 slot dimana setiap slot ini mengandungi perisian ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Saya percaya bahawa tujuan dan matlamat setiap slot ini amatlah berguna pada masa kini dalam usaha membuka minda dan fikiran belia tentang kepentingan penjagaan alam sekitar seterusnya mencungkil idea-idea baru belia dalam inovasi pendidikan,” ucap Dr. Mohd Ikhwan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains dan Matematik (FSM) semasa majlis ucapan perasmian.

Dr Mohd Ikhwan Hadi Yaacob memberikan ucapan
Abbas Ali, pengarah program memberi ucapan aluan

“Program Mission Terra ini hadir sebagai satu jalan penyelesaian untuk kehilangan biodiversiti . Dengan kerjasama dari pelbagai pihak, program ini bertujuan melahirkan bakal guru dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berupaya menjadi pendukung utama dalam pemuliharaan biodiversiti,” kata Abbas Ali Iftikhar, pengarah program Mission Terra.

Seramai 28 orang pelajar dari pelbagai fakulti UPSI telah berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Eco-Educators yang bukan sahaja menerima penghargaan tetapi juga akan berperanan untuk melatih generasi muda untuk meneruskan usaha ini.

Peserta telah dilantik menjadi Eco-Educator dan berikrar untuk mengubah landskap pendidikan negara ke arah yang lebih lestari

Walaupun program Mission Terra ini telah berakhir, para peserta diharap  meneruskan pembelajaran teori dan praktikal terhadap pemuliharaan biodiversiti untuk menjadikan mereka sebagai agen perubahan dalam komuniti mereka. Untuk memastikan kejayaan inisiatif ini, penglibatan berterusan dari semua pihak seperti pelajar, guru dan komuniti amatlah penting.

Diharapkan semua pihak dapat menghargai dan menggunakan sumber alam dengan sebaiknya di masa akan datang untuk berkongsi dengan masyarakat sekeliling.