Oleh: Dr Jamilah Mohd Bashir
Satu Bengkel Pembangunan Modul Program Pembangunan Kemahiran Pembelajaran dan Pengajaran Orang Asli untuk Guru-guru Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) Fasa Duatelah berjaya dilaksanakan pada 25 hingga 27 April 2025. Bengkel ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norwaliza Abdul Wahab dari Fakulti Pembangunan Manusia, dengan kerjasama erat daripada Prof. Madya Dr. Azizah Zain, Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali, dan Dr. Jamilah Mohd Basir serta guru-guru dari Pusat Pendidikan Komuniti Orang Asli. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri. Bengkel ini merupakan kesinambungan kepada fasa pertama yang telah diadakan pada Disember 2024 dan bertujuan memperkukuh usaha pembangunan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan latar sosio-budaya serta tahap perkembangan bahasa kanak-kanak Orang Asli.

Bengkel selama tiga hari ini berlangsung di dua lokasi utama iaitu di Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI pada 25 April, serta di Fakulti Pembangunan Manusia UPSI pada 26 dan 27 April 2025. Sebahagian bengkel ini diadakan di perpustakaan supaya guru-guru berpeluang untuk mencari serta mengenalpasti bahan-bahan yang sesuai daripada perpustakaan UPSI. Seramai 15 orang guru dari Pusat Pembelajaran Kanak-Kanak Orang Asli sekitar negeri Perak dan Negeri Sembilan telah terlibat secara aktif dalam sesi bengkel ini. Mereka telah diberi bimbingan intensif oleh empat orang pensyarah dari pelbagai bidang berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dan literasi bahasa.
Sepanjang bengkel, para peserta dibimbing untuk membangunkan modul bacaan berorientasikan tema yang dekat dengan kehidupan seharian komuniti Orang Asli seperti flora dan fauna hutan, kehidupan kampung, dan adat resam setempat. Modul yang dihasilkan turut mengambil kira gaya pembelajaran kinestetik dan visual yang lebih sesuai untuk kanak-kanak yang baru berjinak-jinak dengan huruf dan bunyi.

Menariknya, bengkel ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform latihan, tetapi turut menjadi medan kolaborasi antara pensyarah dan guru untuk menghasilkan bahan bacaan yang benar-benar kontekstual dan berimpak tinggi terhadap komuniti orang asli. Dengan pendekatan menyeluruh yang merangkumi ilustrasi mesra kanak-kanak, penggunaan kosa kata mudah, serta penceritaan berbentuk naratif pendek, modul ini diharap dapat meningkatkan tahap literasi awal dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli yang sering kali berdepan jurang dalam sistem pendidikan arus perdana.

Penganjuran bengkel ini telah mendapat sokongan padu daripada Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri selaku penaja utama. Sumbangan kedua-dua pihak amat bermakna dalam memastikan proses pembangunan modul ini dapat dijalankan dengan lancar dan profesional. Selain daripada sesi pembelajaran, guru-guru juga diberi peluang untuk menyaksikan acara kebudayaan anjuran pelajar UPSI dengan harapan memberi inspirasi kepada guru bahawa pelajar mereka juga berpeluang untuk menuju ke pentas dunia suatu hari nanti. Menghadiri acara tersebut juga telah memberi pendedahan kepada para peserta Orang Asli tentang aktiviti sekolah di UPSI.

Secara keseluruhannya, bengkel ini bukan sekadar satu inisiatif latihan, tetapi merupakan usaha bersepadu ke arah memperkasakan literasi awal dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli. Ia diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan yang lebih inklusif dan sensitif terhadap kepelbagaian budaya di negara ini.
