Oleh : Muhammad Syafiq Razali, Dr Sumayyah Aimi Mohd Najib, Dr Azi Azeyanti Jamaludin & Dr Nur Munirah Azman
FRASER’S HILL, 21–22 Jun 2025 – Seramai 30 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai 35th Fraser’s Hill International Bird Race, sebuah acara tahunan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan peminat burung, pengkaji biodiversiti, dan aktivis pemuliharaan dari seluruh negara dan luar negara. Penyertaan ini melibatkan gabungan pelajar daripada Persatuan Geografi UPSI (PERGEO), Rakan Alam Sekitar (RAS), Fakulti Sains Kemanusiaan dan pelajar Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Penglibatan pelajar ini telah diiringi oleh tiga orang pensyarah pengiring yang berpengalaman, iaitu Dr Sumayyah Aimi Mohd Najib, Dr Azi Azeyanti Jamaludin & Dr Nur Munirah Azman. Kehadiran para pensyarah bukan sahaja sebagai pemantau keselamatan pelajar, malah turut memberikan bimbingan akademik serta pengukuhan konsep berkaitan biodiversiti, pemuliharaan dan pendidikan luar kelas.
Program yang berlangsung selama dua hari itu memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai kepelbagaian spesies unggas, kaedah pemantauan burung serta peranan ekosistem hutan tanah tinggi dalam mengekalkan keseimbangan biodiversiti. Para peserta berpeluang menyertai perlumbaan memerhati burung (bird watching race), mengenal pasti burung-burung tempatan dan endemik di kawasan Bukit Fraser, serta berinteraksi bersama peserta lain dari pelbagai negara dan latar belakang akademik.
Selain pertandingan utama, pelajar turut menyertai bengkel biodiversiti, sesi interpretasi hutan, ceramah pemuliharaan, dan lawatan berpandu ke denai semula jadi di sekitar lokasi. Aktiviti-aktiviti ini telah membantu memperkukuh kemahiran lapangan seperti pemerhatian, pencatatan data, pengenalpastian habitat, serta pemetaan lokasi spesies burung menggunakan aplikasi mudah alih dan teknologi GPS.

Menurut salah seorang peserta dari Persatuan Geografi UPSI, program seperti ini merupakan peluang terbaik untuk merasai sendiri suasana pembelajaran berasaskan alam, di samping menyemai kecintaan terhadap warisan semula jadi negara. Malah, penglibatan dalam program bertaraf antarabangsa turut memberi nilai tambah dalam aspek jaringan akademik dan pengalaman kerja lapangan yang sebenar.
Bagi pelajar daripada Rakan Alam Sekitar dan Jabatan Biologi pula, Bird Race ini membuka ruang untuk mereka meneroka hubungan antara spesies, habitat dan ancaman terhadap biodiversiti, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap peranan generasi muda dalam usaha pemuliharaan jangka panjang. Kehadiran pensyarah pengiring juga memberi panduan refleksi akademik terhadap pemerhatian dan penemuan sepanjang aktiviti berlangsung.

Penyertaan pelajar UPSI dalam 35th Fraser’s Hill International Bird Race ini merupakan bukti komitmen universiti dalam menyokong pendidikan berasaskan alam, menyemai nilai kelestarian dan memperkukuh penglibatan pelajar dalam program berimpak tinggi. Diharapkan penyertaan seumpama ini dapat diteruskan sebagai aktiviti tahunan yang menggabungkan aspek pembelajaran, khidmat komuniti dan pemuliharaan alam sekitar secara holistik.
