Oleh: Nurul Natasha Abdullah
Tanjong , 22 Jun 2025 – Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi saksi kemeriahan Program SportVibe Xtreme 2025 yang berjaya menghimpunkan 96 mahasiswa daripada pelbagai fakulti dalam satu program berkonsepkan sukan dan pembangunan sahsiah diri. Penganjuran ini merupakan inisiatif Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI.

Berlangsung selama sehari, program ini bertujuan memupuk semangat kesukanan, memperkukuh kerjasama berpasukan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus. Di samping aktiviti fizikal yang menyeronokkan, ia turut menjadi medan pengasahan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa serta daya tahan fizikal dan mental.


Acara dimulakan seawal jam 7:30 pagi dengan pendaftaran, diikuti sesi pemanas badan dan taklimat keselamatan daripada penyelaras aktiviti. Aktiviti kemudiannya dijalankan secara serentak di lokasi berbeza mengikut kategori sukan seperti futsal, bola tampar, sukaneka, memanah dan permainan dalaman seperti catur, dam haji dan congkak.





Sukaneka yang berlangsung di Padang B menyaksikan pelbagai aktiviti unik dan mencabar antaranya Tapak Kingkong, Botol Pantas, Ball Pass Back, Batik Train dan Balloon Splash. Setiap permainan direka khusus untuk menguji kemahiran komunikasi, koordinasi serta strategi kumpulan dalam suasana santai dan menceriakan.
Antara yang mencuri perhatian ialah permainan Balloon Splash, yang mencetuskan gelak tawa dan semangat kekeluargaan apabila belon air terhempas di tangan peserta. Suasana gamat ini membuktikan sukan tidak semestinya bersifat kompetitif, tetapi juga menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah.
Aktiviti memanah turut menjadi tarikan istimewa, dikendalikan oleh penyelaras berpengalaman yang memberikan tunjuk ajar asas berkaitan teknik memanah yang betul. Selain mencabar aspek fizikal dan fokus, aktiviti ini juga mengasah ketepatan serta kawalan emosi dalam suasana yang selamat dan terkawal.
Aktiviti futsal yang berlangsung di Gelanggang Futsal UPSI mendapat sambutan hangat dengan format kalah singkir. Aksi lincah, rembatan padu dan kerjasama pasukan menjadi tarikan utama, diiringi sorakan penyokong yang membakar semangat kesukanan.
Sementara itu, pertandingan bola tampar di Gelanggang Bola Tampar menyaksikan komitmen tinggi peserta dalam menyusun strategi, menghantar servis, dan melakukan libasan bertenaga. Suasana penuh semangat ini menjadi bukti bahawa mahasiswa UPSI bukan sahaja hebat di bilik kuliah, tetapi juga di gelanggang sukan.
Permainan catur, dam haji dan congkak yang berlangsung di taman permainan berdekatan Padang B memberi ruang kepada peserta yang lebih cenderung kepada aktiviti berasaskan minda. Selain menguji ketajaman strategi dan logik, ia turut mengimbau kenangan zaman kanak-kanak menerusi congkak yang berunsurkan permainan tradisional Melayu.
Majlis penutupan menyaksikan ucapan penuh inspirasi oleh Yang Dipertua KeSUA 2024/2025, Muhammad Nor Afzan Emran, yang menyeru para peserta untuk terus aktif menyertai program-program kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan urus setia atas komitmen luar biasa dalam menjayakan program ini.


Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kategori sukaneka, bola tampar dan futsal oleh Nor Hayati Aziz, selaku Penasihat KeSUA, yang turut merasmikan penutupan Program SportVibe Xtreme 2025. Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Program, Hasridayanti Husman.

SportVibe Xtreme 2025 bukan sekadar program riadah, tetapi menjadi medan membina karakter, memperkukuh jaringan sosial dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan mahasiswa UPSI. Dengan semangat yang ditunjukkan, jelas bahawa mahasiswa UPSI bersedia menjadi pemimpin yang seimbang dari segi intelek, fizikal dan spiritual.
