Oleh: Anis Suraya Muhammad

TANJONG MALIM, 25 JUN 2025 – Majlis istimewa “Misi Tamat Geonation”dianjurkan bagi meraikan detik-detik terakhir mahasiswa tahun akhir Batch Geonation (Semester 7), Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini bukan sahaja menjadi simbolik kepada perpisahan yang bakal tiba, malah menyulam elemen akademik dan kebersamaan dalam suasana yang emosi dan nostalgia. Program ini turut disertai oleh rakan seperjuangan daripada Batch Geoforest (Semester 6), menjadikan suasana lebih meriah dan penuh dengan nilai kebersamaan antara dua generasi dalam Persatuan Geografi UPSI.

Antara pengisian utama yang berjaya menarik perhatian dalam program akademik baru-baru ini ialah sesi peruncingan akhir bagi subjek HGF3063 Kajian Hidrologi Tropika. Sesi berfokus ini telah disampaikan dengan penuh berkesan oleh Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, yang berjaya membantu mahasiswa memperkukuh pemahaman mereka terhadap topik-topik tumpuan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir yang semakin hampir.

Selain pengisian akademik, program turut diserikan dengan sesi jamuan makan yang menyatukan seluruh warga Geonation dan Geoforest dalam suasana mesra. Ia memberi ruang kepada pelajar untuk menghargai detik-detik terakhir bersama rakan seperjuangan.

Program ini bukan sekadar penutup tirai bagi semester akhir, tetapi juga satu penghargaan buat Batch Geonation yang memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian. Kehadiran Geoforest menambahkan lagi makna dan memori indah, menyemarakkan semangat dan solidariti dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa Geografi.