Oleh : Muhammad Syafiq Razali
TANJONG MALIM, Rabu, 25 Jun 2025 – Dalam usaha memperkasakan kemahiran pedagogi bakal guru Geografi, seramai 85 orang pelajar Batch GeoForest telah menyertai Bengkel RPH Pro: Dari Perancangan ke Pelaksanaan, satu inisiatif latihan berfokus yang bertujuan membimbing pelajar menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang mantap dan berkesan, selaras dengan keperluan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hanifah Mahat, Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang juga merupakan tokoh akademik berpengalaman luas dalam bidang pendidikan geografi dan reka bentuk kurikulum. Kehadiran beliau bukan sahaja memberikan sentuhan ilmiah kepada pengisian bengkel, malah turut menjadi inspirasi kepada para peserta untuk lebih bersedia menghadapi dunia sebenar sebagai pendidik.
Dalam sesi bengkel yang berlangsung secara intensif, para peserta dibimbing secara terperinci tentang struktur penulisan RPH yang merangkumi elemen objektif pembelajaran, aktiviti berpusatkan murid, penilaian formatif dan refleksi pengajaran. Penekanan turut diberikan terhadap penyelarasan RPH dengan pendekatan pedagogi semasa seperti pembelajaran abad ke-21, penilaian alternatif dan elemen STEM dalam Geografi.

Menurut salah seorang peserta, bengkel ini membuka perspektif baharu tentang betapa pentingnya perancangan pengajaran yang berkualiti dalam menentukan keberkesanan sesi PdP. “Selama ini kami menulis RPH seperti satu keperluan rutin, tapi selepas bengkel ini, kami lebih jelas bahawa RPH adalah panduan strategik yang akan menentukan bagaimana murid memahami dan menghargai ilmu Geografi,” katanya.
Bengkel ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan refleksi terbuka yang membolehkan pelajar menyuarakan kebimbangan serta berkongsi pengalaman berkaitan cabaran penulisan RPH dan amalan pengajaran mikro. Pihak penganjur menyatakan hasrat untuk menjadikan Bengkel RPH Pro sebagai program tahunan agar kemahiran asas pedagogi ini dapat terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
Dengan penganjuran bengkel ini, para pelajar Batch GeoForest bukan sahaja lebih bersedia untuk menempuh alam praktikum, malah mampu merangka strategi pengajaran yang berkesan dan inklusif, sejajar dengan aspirasi UPSI sebagai peneraju pendidikan negara.
