Oleh: Jesslenny Denisius, Siti Nurul Jannah Binti Saili@Suhaili, Febby Angelica Richard, Poojavini A/P Gopikrishnan, Dr. Norhayati Ahmat, Prof. Madya Dr. Nurul Akmal Mohamed
Rawang, Selangor, 16 Jun 2025 –Seramai 21 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Matematik telah mengadakan program The LiPro Challenge yang melibatkan seramai lebih 100 orang pelajar Tingkatan 5 di SMK Taman Desa, Rawang, Selangor. Program ini merupakan sebahagian daripada penilaian kursus SMQ3043 Linear Programming.
Program ini dijalankan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang menggabungkan elemen pengajaran, khidmat masyarakat dan penglibatan universiti dengan komuniti setempat di bawah bimbingan pensyarah kursus iaitu Dr. Norhayati Ahmat.
Program ini juga turut disertai oleh dua (2) orang pelajar semester 7 yang ingin menguji kebolehgunaan bahan bantu mengajar yang dibangunkan oleh mereka untuk projek akhir tahun (FYP).



Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar sekolah dalam topik Pengaturcaraan Linear melalui kaedah pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Dalam masa yang sama, program ini memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mengaplikasikan pengetahuan kursus secara praktikal serta memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengurusan, kepimpinan dan kerja berpasukan.
Program ini juga berperanan sebagai jambatan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam usaha memperkasa pendidikan negara.
Program ini bermula seawal jam 8:00 pagi dan berlangsung sehingga jam 12.50 tengah hari. Sepanjang program, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi Ice breaking, slot pengajaran, slot aktiviti pengukuhan, refleksi dan penutup.
Fokus utama program ialah slot pengajaran yang telah disampaikan kepada pelajar Tingkatan 5 dari tiga kelas berbeza.
Slot ini memberi tumpuan khusus kepada topik Pengaturcaraan Linear di mana para pelajar didedahkan dengan asas pembinaan model matematik, fungsi objektif serta kekangan melalui aktiviti berasaskan situasi harian. Mahasiswa turut membimbing pelajar dalam meneroka konsep secara visual dan praktikal.
Slot seterusnya ialah aktiviti melibatkan penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) berasaskan permainan (GBL) yang kreatif dan menarik berkaitan dengan topik Pengaturcaraan Linear iaitu Bom Quiz serta BBM yang dibangunkan oleh pelajar FYP iaitu Pirate’s Paradox: Benua Eropah dan Benua Asia.
Penggunaan BBM yang pelbagai ini menjadikan penyampaian lebih berkesan dan membantu pelajar memahami topik yang dianggap mencabar ini dengan lebih mudah.


Acara penutup di akhir program diserikan dengan penyampaian cenderahati dan sesi fotografi sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan.
Secara keseluruhannya, The LiPro Challenge telah memperlihatkan impak yang positif kepada kedua-dua pihak iaitu pelajar sekolah dan mahasiswa UPSI. Program ini membuktikan bahawa proses pendidikan tidak terbatas di dalam bilik darjah sahaja, tetapi turut berlaku melalui interaksi aktif dan perkongsian ilmu yang bermakna.
Oleh itu, program ini jelas menjadi bukti kejayaan pendidikan berasaskan komuniti yang bersifat inklusif, berdaya saing dan penuh makna.

