Modul 1 : Kesihatan – Prof. Madya Dr. Normah binti JusohModul 1 : Kesihatan – Prof. Madya Dr. Normah binti Jusoh

Oleh : Dr. Siti Shuhaida Shukor dan Khoirun Nisya Ruslan

Tanjung Malim, 30 Jun – Sebagai inisiatif memperkasa graduan dengan kemahiran keusahawanan dan kebolehpasaran, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menganjurkan Program Model Starting-Polishing-Finishing (SPF) School Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan 2025 sepanjang bulan Jun ini.

Program yang dijalankan secara dalam talian melalui Google Meet itu berlangsung selama tiga minggu berturut-turut pada 14, 21 dan 28 Jun, dengan pengisian enam modul utama meliputi aspek kesihatan, etika, kepimpinan, keusahawanan, literasi digital serta modul khusus berkaitan keusahawanan tadika.

(Modul  2 : Etika  – Dr. Nur Faaizah binti Md Adam)
(Modul  3 : Kepimpinan  – Prof. Madya Dr. Khalip bin Musa)
(Modul  4 : Keusahawanan  – Dr. Siti Asma’ binti Mohd Rosdi)

Menurut pengarah program yang dikendalikan oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Muhammad Dzul Ehsan bin Sahriff, pelajar bukan sahaja diberi pendedahan awal mengenai aspek permulaan dan pengurusan sesebuah tadika, malah turut didedahkan kepada proses perlesenan, etika pengurusan sumber manusia, latihan pekerja serta pematuhan undang-undang. Pendekatan ini bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan menyeluruh dari peringkat awal penubuhan hingga operasi tadika.

“Modul disusun berasaskan konsep permulaan (starting), pemantapan (polishing) dan penyudah (finishing) agar peserta memahami keseluruhan rantaian nilai dalam pengurusan perniagaan pendidikan awal kanak-kanak,” jelas penganjur.

Menariknya, program ini turut disertai pelajar dari institusi luar iaitu United Nation Institute for Training and Research (UNITAR), yang terdiri daripada pelajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak, sekali gus memperlihatkan kerjasama rentas institusi dalam usaha memperkasa kemahiran pelajar.

(Modul  5 : Literasi Digital – Dr. Noor Anida binti Mohd Noor)
              (Modul  6 : Usahawan Tadika  – Puan Shahaniza binti Shamsuddin)

EDGE memaklumkan program ini mencapai objektif untuk membina kemahiran insaniah dan teknikal dalam kalangan peserta sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak disasar diteruskan pada masa akan datang bagi menambah baik kandungan serta capaian program.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah dan jawatankuasa pelaksana atas komitmen 100% dalam memastikan kelancaran program.