Oleh: Via Clariss Morgan
Slim River, 26 April 2025 – Program Solidarity and Care: Mahasiswa bersama Orang Asli (SOLACE) anjuran Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kolaborasi Persatuan Mahasiswa/i Sabah (PERMIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh jayanya di Kampung Orang Asli Gesau, Slim River, Perak.
Program ini bertujuan memupuk semangat solidariti, nilai kepedulian, serta rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa terhadap komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan kebajikan dan kebudayaan telah dijalankan.
Antaranya termasuk sukan rakyat, sumbangan barangan asas keperluan harian, sesi ramah mesra, dan perkongsian budaya antara mahasiswa dan penduduk kampung.
SOLACE juga menjadi platform dalam memperkasakan Sustainable Development Goals yang ke-4 iaitu quality education dan ke-12 iaitu responsible consumption and production.
Menurut Pengarah Program SOLACE, Geelveanna Elssa Rasilan, inisiatif ini bukan sekadar platform untuk menyampaikan sumbangan, malah membuka ruang untuk mahasiswa mendalami gaya hidup serta keunikan budaya masyarakat Orang Asli secara langsung.
“Kedatangan kami tidak hanya bertujuan menjalankan aktiviti semata-mata, tetapi juga untuk belajar tentang cara hidup, adat resam, dan membina jalinan kemanusiaan yang tulus serta bermakna,” ujarnya.
Program ini turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr Julita @ Norjietta Taisin selaku penasihat Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) UPSI sekaligus perasmi program SOLACE.


Beliau menyatakan bahawa program ini merupakan usaha yang baik dan memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengenal suasana komuniti Orang Asli dalam persediaan untuk masuk ke alam pekerjaan setelah tamat pengajian.
Kerjasama erat antara IKSAS dan PERMIS telah membuktikan bahawa gabungan antara dua persatuan anak negeri Sabah ini mampu melaksanakan program berimpak tinggi kepada masyarakat.
Malah, pendekatan SOLACE yang bersifat holistik turut menekankan aspek hormat terhadap budaya tempatan dan pemerkasaan komuniti.
Turut berkongsi pandangan ialah Ketua Projek dari PERMIS UKM, Jayson Eugene Sabin, yang menyatakan bahawa program ini telah mengukuhkan lagi semangat kerjasama antara mahasiswa dari pelbagai universiti sambil memperluas kefahaman terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Kehadiran dan penglibatan aktif daripada semua pihak menjadi bukti bahawa mahasiswa hari ini masih utuh dengan nilai-nilai kemasyarakatan yang luhur.” katanya.
Program ini juga mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat yang menghargai kehadiran mahasiswa dan kesungguhan mereka dalam menyantuni masyarakat.
Secara keseluruhannya, SOLACE mencerminkan komitmen mahasiswa dalam memainkan peranan sebagai agen perubahan sosial yang progresif dan prihatin.
SOLACE ikatan kasih, pemerkasaan komuniti menjadi bukti bahawa semangat solidariti bukan sekadar slogan, tetapi boleh diterjemah melalui tindakan berterusan, ikhlas dan penuh empati.
