Oleh: Vivian Eleanor

TANJONG MALIM, 22 April 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  telah menganjurkan program “Roadshow Penaja dan Bantuan Pendidikan Negeri Sabah” dengan kerjasama Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini diadakan pada 20 April 2025 bermula pukul 8 pagi sehingga 1 petang di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Seramai 300 peserta telah menghadiri program ini iaitu pelajar Sabah yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tujuan program ini dijelaskan oleh Pengarah Bantuan Kerajaan Negeri Sabah, Puan Emas Sanjongan binti Datu Okar yang berkata bahawa program ini merupakan salah satu pendekatan untuk melihat sendiri permasalahan yang dihadapi oleh pelajar Sabah di UPSI.

Menurut beliau, selain pihak BKNS terdapat beberapa badan penaja lain yang turut serta seperti Yayasan Sabah, Majlis Agama Islam dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-tugas Khas).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainuddin Aman dalam ucapannya berkata, peruntukan BKNS tahun 2025 telah dinaikkan kepada RM 125 Juta merupakan antara kenaikan yang terbesar.

“Dengan peruntukan tersebut semoga dapat membantu pelajar yang berada di Semenanjung yang jauh dari rumah.

Beliau menyeru, “Ambillah peluang ini untuk memohon penajaan yang bersesuaian dengan kehendak pelajar.”

Melalui program ini juga telah diperkenalkan beberapa bantuan pendidikan bukan biasiswa seperti bantuan one-off BUDI, BAIK, SUBFLY, AKSA dan SEMESTA.

Pengarah Program, Krestyelah Ubid dalam temu bual bersama TV IKSAS mengatakan,  “Sesungguhnya program ini sangat baik dan bermakna kepada pelajar Sabah di UPSI.

“Program ini membuktikan betapa prihatinnya kerajaan Negeri Sabah terhadap pelajar-pelajar Sabah di UPSI dan memberi banyak manfaat yang baik” ujarnya lagi.

Program ini mendapat sambutan yang meriah dan menjadi cahaya harapan kepada pelajar Sabah UPSI terutama bagi mereka yang sangat memerlukan sokongan kewangan sepanjang pengajian.