Oleh: Nur Syafiena Natasha Samsul
TANJONG MALIM, 27 APRIL 2025 – UPSI Colour Fun Run 3.0: Manifestasi Kesihatan, Ukhuwah dan Kepimpinan Mahasiswa. Dalam landskap pendidikan tinggi masa kini, pembentukan graduan holistik yang seimbang dari aspek intelektual, emosi, fizikal, dan sosial menjadi satu keutamaan penting.
Institusi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berperanan utama dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga sihat tubuh badan, berketerampilan sosial, dan berjiwa kepimpinan.
Menyedari keperluan ini, program ini bukan sekadar sebuah acara riadah, tetapi berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh kesedaran kesihatan, membina nilai murni, serta memperkasa kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selari dengan SDG 3 dan SDG 16 yang dimatlamatkan.


Perkara ini menjadikan bukti komitmen UPSI dalam menjunjung falsafah pendidikan holistik yang mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam aspek kesihatan, kesejahteraan, keamanan dan pembangunan sosial.
Penganjuran UPSI Colour Fun Run 3.0 merupakan hasil kerjasama dinamik antara Persatuan Geografi (PERGEO), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), serta mendapat dukungan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).


Kehadiran kira-kira 500 peserta dari pelbagai fakulti dan latar belakang akademik membuktikan keberkesanan strategi promosi, keterbukaan penyertaan, serta kesesuaian konsep program dengan minat generasi mahasiswa kini dengan objektif utamanya, meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat melalui penyertaan aktif dalam aktiviti fizikal berbentuk santai dan menyeronokkan, memperkasa kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan pengurusan acara dalam kalangan mahasiswa, khususnya ahli jawatankuasa pelaksana dan mengeratkan jaringan sosial dan memperkukuh nilai ukhuwah dalam komuniti kampus, seterusnya membina jati diri berasaskan toleransi dan kerjasama.
Bermula seawal jam 8.00 pagi, program diisi dengan aktiviti pendaftaran, senamrobik beramai-ramai, taklimat keselamatan, diikuti acara kemuncak iaitu larian berwarna-warni di sekitar kampus. Suasana semakin meriah dengan acara cabutan bertuah dan siraman air bomba yang menjadi simbolik kepada keceriaan dan semangat kekitaan.
Dari segi teknikal dan logistik, kertas kerja program disediakan secara profesional, mencakupi aspek keselamatan, penyediaan peralatan seperti walkie-talkie, pengurusan kewangan daripada pelbagai sumber, serta penyelarasan tugas ahli jawatankuasa seramai 91 orang.
Bahkan, program ini bukan sahaja memperlihatkan perancangan yang teliti, tetapi juga melatih mahasiswa berdepan dengan cabaran sebenar dalam menguruskan program berskala besar seperti satu pengalaman pembelajaran tidak formal yang sangat berharga.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Abu Zarrin Selamat menekankan bahawa UPSI Colour Fun Run 3.0 adalah simbol kepada usaha UPSI dalam membentuk graduan seimbang akademik dan jasmani.
Aktiviti ini bukan semata-mata soal berlari, tetapi manifestasi kepada falsafah pendidikan yang memperkasa individu secara holistik.
Penghargaan yang besar turut diberikan kepada pihak-pihak yang terlibat. Dalam ucapan Dr. Sumayyah Aimi Najib, selaku penasihat Persatuan Geografi mengucapkan terima kasih kepada Dr. Abu Zarrin Selamat (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pegawai keselamatan, AJK pelaksana, dan semua peserta.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu kerana ini merupakan penganjuran terakhir oleh kumpulan pelajar Geoforest Semester 6, menjadikan program ini penuh makna dan kenangan yang melambangkan warisan perjuangan mahasiswa dalam memperjuangkan budaya kecemerlangan di UPSI.
Program ini turut memberi impak yang nyata seperti peningkatan kesedaran kesihatan mahasiswa untuk lebih memahami peri pentingnya aktiviti fizikal dalam mengekalkan kesejahteraan diri.
Gaya hidup aktif kini dilihat bukan sekadar keperluan peribadi, tetapi satu tanggungjawab sosial dalam membentuk komuniti kampus yang sihat dan berdaya tahan.
Tambahan pula, turut mewujudkan pemerkasaan sahsiah dan kepimpinan melalui pengalaman sebagai jawatankuasa pelaksana, mahasiswa diasah dalam kemahiran penting abad ke-21 seperti penyelesaian masalah, komunikasi berkesan, kepimpinan situasional dan pengurusan risiko.
Ini sejajar dengan kehendak industri masa kini yang menuntut graduan berketerampilan insaniah yang tinggi.
Tidak dilupakan juga, pengukuhan jaringan sosial dan ukhuwah yang tercetus apabila bertemunya pelajar dari pelbagai kursus, program, dan latar belakang budaya membolehkan interaksi ini membina semangat perpaduan, memperkukuh toleransi dan mendorong keterbukaan minda dalam memahami keunikan komuniti pelbagai.
Oleh hal yang demikian, UPSI Colour Fun Run 3.0 membuktikan bahawa program berbentuk riadah santai juga boleh membawa perubahan besar dalam membentuk karakter dan kemahiran mahasiswa.
Di samping memupuk budaya gaya hidup sihat, program ini berfungsi sebagai wahana pembinaan jaringan sosial, pengukuhan kemahiran insaniah, dan pengembangan potensi kepimpinan mahasiswa.
Dengan kejayaan UPSI Colour Fun Run 3.0, terbukti bahawa sinergi antara pelajar, fakulti, dan pentadbiran universiti mampu melahirkan program pembangunan sahsiah yang kreatif, efektif, dan inklusif.
Program ini bukan sahaja menzahirkan aspirasi pendidikan tinggi Malaysia, malah membina harapan untuk lahirnya lebih ramai graduan berdaya saing, bertanggungjawab dan berpandangan global pada masa akan datang.
