Oleh: Aisyah Mahadi

TANJONG MALIM, 1 Mei 2025 – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta nama apabila berjaya merangkul tiga kemenangan dan anugerah khas dalam Pertandingan Tarian Tradisional (PESTARI 1.0) yang berlangsung di Dewan Harun Aminurrashid, UPSI semalam.

Dengan mempersembahkan tarian kreatif daripada Kaum Cina yang dinamakan The Lotus Blooms in Spring dan tarian Zapin Mahpom, kumpulan yang digelar Pawaka Sakti dan Anggun Cendana, dianggotai 6 hingga 10 orang penari ini memikat hati juri melalui gerak tari yang lemah lembut serta bertenaga. Kumpulan Pawaka Sakti berjaya merangkul gelaran Naib juara manakala kumpulan Anggun Cendana mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Lebih membanggakan, KHAR juga berjaya merangkul anugerah khas koreographer terbaik di bawah bimbingan Mohamad Faiq Iqmal yang juga merangkap Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid. Persembahan mereka mendapat sorakan gemuruh daripada penonton dan pujian yang membina daripada panel juri.

Faiq Iqmal berbangga dengan kejayaan yang merupakan pembelajaran dan keikhlasan serta semangat kerja berpasukan daripada penari. “Saya juga tidak menyangka kami meraih 3 anugerah pada malam ini dan kemenangan ini adalah hasil titik peluh penari-penari”, katanya.

Sebagai naib johan dan tempat ketiga, Pawaka Sakti dan Anggun Cendana menerima pingat, sijil serta hamper manakala bagi anugerah koreografer terbaik membawa pulang sebuah plak. Tempat pertama dan anugerah busana terbaik dimenangi oleh Indu Bantang yang membawa tarian negeri Sarawak dan busana tradisional kaum Iban.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR), UPSI mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh warga UPSI.

Panel juri yang diketuai oleh Marina Awang Ahmad, Jabatan Strategik UPSI menyifatkan PESTARI 1.0 sebagai platform penting dalam menggilap bakat baharu dan mencungkil kreativiti anak muda dalam dunia seni tari.