Oleh : Nur Izzah Ilyana Mohd Kamal
Besut, Terengganu, 17 Jun 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) telah mengadakan Ziarah Kasih ke keluarga-keluarga mangsa yang terlibat dengan nahas kemalangan di Gerik, iaitu terdiri daripada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sebuah tragedi yang menyayat hati itu telah mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan ramai penumpang, iaitu mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dalam perjalanan pulang ke kampus.
Ziarah Kasih ini bertujuan menyantuni keluarga mangsa seterusnya menyampaikan bantuan dan sumbangan yang merupakan hasil daripada Tabung Sumbangan Ikhlas Derma Kilat yang menggunakan akaun bank Majlis Perwakilan Pelajar UPSI yang dibuka sejak 9 Jun 2025 yang lalu.



Dana tabung ini bertujuan menampung keperluan asas mangsa termasuk kos rawatan dan perubatan, bantuan makanan dan barangan keperluan harian Sumbangan yang diberikan berbentuk makanan kering, beras, makanan retort oleh UMPSA seterusnya barangan seperti telekung dan wang bernilai RM10000 kepada setiap 42 buah keluarga mangsa kemalangan bas yang berlaku di Gerik baru-baru ini. Dana dari tabung ini telah dikumpul dari orang awam iaitu seluruh rakyat Malaysia.
Misi ini adalah dibawah pengetahuan Naib Canselor UPSI, ujar beliau, ‘Jadilah Kalian Insan yang Berjasa, Sesungguhnya Insan Sejati adalah mereka yang berjasa kepada Insan dan Ummah’ – Prof Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff.


Misi ini dianggotai oleh sejumlah 38 sukarelawan yang menyumbangkan tenaga. Misi bantuan mangsa kemalangan bas Gerik ini bukan sekadar pengagihan bantuan fizikal, tetapi juga satu bentuk kasih sayang dan solidariti sesama insan. Misi ini juga telah membuka mata masyarakat bahawa banyak mahasiswa yang sangat memerlukan bantuan.
Semoga usaha murni ini dapat menyuntik harapan baharu kepada mereka yang sedang melalui detik sukar.
