Tanjong Malim, 28 Mei 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Jakel Cawangan Tanjong Malim telah melaksanakan sebuah program kebajikan berimpak tinggi, iaitu Sinar Kasih Bitara UPSI x Jakel, bertujuan menyantuni golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan melalui pemberian pakaian raya secara percuma.

Program ini merupakan cetusan idea MPP UPSI yang prihatin terhadap situasi segelintir mahasiswa yang tidak mampu menyediakan pakaian baharu untuk menyambut perayaan.

Pada asalnya dirancang untuk Aidilfitri, program ini mengalami penangguhan disebabkan kekangan teknikal. Namun, ia tetap diteruskan dengan penuh iltizam pada 28 Mei 2025, bertepatan dengan persiapan menjelang Aidiladha, sebagai simbolik bahawa tiada istilah terlewat untuk memberi.

Seramai 100 orang mahasiswa terpilih telah menerima manfaat daripada program ini, terdiri daripada 50 mahasiswa lelaki dan 50 mahasiswa perempuan.

Mahasiswa lelaki menerima sepasang baju melayu lengkap beserta sampin, manakala mahasiswa perempuan menerima sepasang baju kurung moden. Pemilihan dibuat secara teliti agar hanya mereka yang benar-benar memerlukan mendapat keutamaan.

Jumlah keseluruhan sumbangan dianggarkan mencecah hampir RM10,000, dan kesemua pakaian ditaja sepenuhnya oleh Jakel Cawangan Tanjong Malim.

Program ini membuktikan keberkesanan jalinan kerjasama strategik antara pihak universiti dan sektor swasta dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus dipelihara dan diraikan.

Menariknya, majlis gimik penyerahan mockcheck sebagai simbolik pelancaran telah pun diadakan lebih awal semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri UPSI yang berlangsung dengan meriah.

Namun, penyerahan rasmi pakaian raya dilakukan pada 28 Mei 2025 bertempat di Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim, Perak. Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UPSI, Prof. Dr. Nor Khalid bin Salimin.

Program ini mendapat sambutan positif daripada para penerima yang rata-rata melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak universiti serta penaja.

Bagi mereka, sumbangan ini bukan sekadar sehelai pakaian, tetapi lambang kasih sayang, pengiktirafan dan sokongan moral yang sangat bermakna dalam kehidupan sebagai mahasiswa.