Oleh: Muhamad Haziem Abdul Rashid

TANJONG MALIM – Dalam era globalisasi yang penuh cabaran, hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi bukan lagi satu keperluan bersifat pilihan, tetapi satu tanggungjawab penting yang wajib diperkukuh dari semasa ke semasa. Hubungan ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan akademik yang lebih mampan, tetapi juga membuka peluang luas kepada mahasiswa untuk membina jati diri, memperkasa kemahiran insaniah dan menambah baik pengalaman kepimpinan mereka dalam konteks yang lebih luas dan pelbagai.

Kelab Ekonomi UPSI (UPSINOMICS) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, iaitu Lawatan Penanda Aras oleh Sekretariat Fakulti Ekonomi dan Muamalat (SEKREFEM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara institusi sambil menekankan elemen kolaborasi, perkongsian ilmu dan pembangunan mahasiswa.

Program ini berlangsung selama tiga hari, bermula 16 hingga 18 Mei 2025, melibatkan penyertaan seramai 87 orang peserta daripada kedua-dua universiti yang terdiri daripada barisan pimpinan pelajar, wakil kelab dan persatuan fakulti, penasihat serta ahli jawatankuasa penganjur. Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti ilmiah dan interaktif telah dilaksanakan bagi memastikan matlamat utama dapat dicapai dengan berkesan.

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan idea dalam aspek pengurusan fakulti, pembangunan organisasi pelajar serta pemantapan kepimpinan dan kebolehpasaran graduan. Inisiatif ini dirangka bukan sahaja untuk membina jaringan akademik dan sosial yang kukuh, malah sebagai langkah awal ke arah kerjasama yang lebih strategik antara FPE UPSI dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

Sesi perkongsian dan dialog terbuka bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dan SEKREFEM USIM. Dalam sesi ini, wakil MPP UPSI telah berkongsi secara telus mengenai struktur organisasi, hala tuju gerak kerja mahasiswa, pengurusan program berskala besar serta cabaran sebenar yang dihadapi dalam mentadbir dan menyantuni mahasiswa di UPSI. Para peserta juga diberi peluang untuk bertanya soalan secara terbuka, mewujudkan suasana dua hala yang penuh semangat dan keterbukaan.

Selain itu, wakil kelab dan persatuan di bawah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UPSI turut mengambil bahagian dalam sesi perkongsian bersama SEKREFEM. Mereka berkongsi pengalaman menganjurkan pelbagai program berasaskan akademik, kemasyarakatan, keusahawanan dan pembangunan diri yang telah memberi impak kepada pelajar UPSI. Perkongsian ini membuka ruang perbincangan yang lebih luas mengenai amalan terbaik yang boleh diterapkan di kedua-dua fakulti. Ia juga memberikan inspirasi kepada peserta SEKREFEM untuk mengadaptasikan elemen yang bersesuaian dengan struktur organisasi dan budaya kerja mereka di USIM.

Lawatan ini dilaksanakan dalam suasana yang cukup bertenaga dan penuh semangat kerjasama. Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dan SEKREFEM USIM, dialog antara wakil persatuan pelajar di bawah FPE, bengkel Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti khidmat masyarakat di masjid sekitar Tanjong Malim, serta malam kebudayaan yang menyatukan pelajar pelbagai latar belakang.

Program turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Dr. Khalizul bin Khalid, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta Dr. Ahmad Zakirullah bin Mohamed Shaarani, penasihat UPSINOMICS. Secara tidak langsung, program ini menjadi pentas kepada mahasiswa untuk menimba ilmu kepimpinan, mengasah kemahiran komunikasi, serta menilai secara terus amalan terbaik yang boleh diaplikasikan dalam organisasi pelajar masing-masing. Ia memberi peluang kepada peserta untuk mengenal struktur pengurusan dan aktiviti fakulti yang menjadi tunjang kejayaan mahasiswa UPSI.

Pengarah program, saudara Muhamad Haziem bin Abdul Rashid, menyatakan bahawa program ini berjaya membuka ruang refleksi kendiri dalam kalangan mahasiswa terhadap tanggungjawab sebagai pemimpin dan anggota masyarakat. Beliau percaya bahawa program seperti ini mampu membina asas kerjasama antara institusi yang bukan sahaja berimpak jangka pendek, tetapi juga mampu dikembangkan kepada bentuk program kolaboratif yang lebih menyeluruh di masa depan.

Sebagai penutup, lawatan ini menjadi simbol kepada permulaan hubungan erat antara dua fakulti yang punya wawasan besar dalam melahirkan mahasiswa cemerlang dan berdaya saing. Ia membuktikan bahawa apabila mahasiswa diberi ruang, amanah dan sokongan yang sewajarnya, mereka mampu merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi. Semoga jalinan ini terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada institusi pengajian tinggi lain dalam mewujudkan komuniti akademik yang lebih harmoni dan proaktif.