oleh: Dr Ebby Waqqash Mohamad Chan

Tanjong Malim, 20 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan telah menganjurkan program Dapur Kasih Bitara Siri 12/2025 bertempat di Masjid Al-Mursyidin, UPSI.

Program bermula seawal jam 7.30 pagi dengan aktiviti gotong-royong penyediaan makanan yang melibatkan mahasiswa pelbagai fakulti.

Suasana penuh semangat dan ukhuwah jelas kelihatan apabila para pelajar berganding bahu menyediakan juadah secara bersama.

Selepas itu, edaran pek makanan telah dijalankan di perkarangan Masjid Al-Mursyidin mulai jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang, dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada warga kampus serta komuniti sekitar.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Dr. Noorzaliza Osman, berkata program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan mahasiswa dengan masyarakat, malah menjadi ruang terbaik melatih nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan empati.

“Dapur Kasih Bitara bukan sahaja mengajar mahasiswa tentang erti memberi, tetapi juga mengukuhkan hubungan sesama pelajar, pensyarah dan masyarakat. Ia adalah pengalaman bermakna yang melatih kepimpinan, empati serta kesedaran sosial dalam kalangan mereka,” jelas beliau.

Program Dapur Kasih Bitara merupakan inisiatif berterusan universiti yang telah menjadi platform penting dalam mendidik mahasiswa tentang kepentingan memberi kembali kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.