oleh: Khir Badriz Muhamad, Muhammad Azri Syahmi Mat Jusoh dan Sasigaran Moneyam

Malang, Indonesia, 11 – 17 Ogos 2025 – Lima orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi peluang mewakili universiti ke program Art for Basic Education Teacher (ABET 2025) anjuran Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia.

Delegasi ini terdiri daripada Khir Badriz Muhamad dan Muhammad Azri Syahmi Mat Jusoh dari Fakulti Komputeran META dan Teknologi (FKMT), Ahmad Izzuddin Ahmad Rashidi dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), serta Nur Syahirah Md Husri dan Aisyah Amirah Al-Akhtar Mohd Hasri dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Penyertaan ini dilaksanakan di bawah Consortium of Asia-Pacific Education Universities (CAPEU) dengan bimbingan Pengarah Eksekutif CAPEU, Sasigaran Moneyam.

Universitas Negeri Malang sendiri merupakan salah satu daripada 22 ahli CAPEU, yang aktif menganjurkan pelbagai inisiatif kerjasama pendidikan serantau.

Program ini turut disertai oleh 15 orang pelajar dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), sekali gus memperkukuh pertukaran ilmu dan budaya antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi Malaysia dengan tuan rumah, UM.

Sepanjang tujuh hari di Malang, para pelajar UPSI berpeluang menyertai pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan yang memperkaya pengalaman mereka.

Antaranya ialah lawatan ke SD Laboratorium Universitas Negeri Malang, di mana mereka dapat masuk ke kelas dan menyaksikan suasana pembelajaran secara langsung.

Mereka juga melawat Home School Rihand Creative, sebuah pusat pembelajaran alternatif yang menekankan kreativiti dan pendidikan berasaskan pengalaman, sekali gus membuka perspektif baharu tentang pendekatan pendidikan tidak formal.

Mereka didedahkan dengan seni dan budaya Jawa Timur melalui pembelajaran tarian tradisional serta aktiviti eco print batik.

Selain itu, para peserta turut merasai pengalaman agro-pelancongan dengan memetik epal, oren dan jambu di ladang tempatan, serta mengunjungi SDN Sumbergondo 2, sebuah sekolah kluster yang menjadi contoh inovasi pendidikan.

Dalam aspek khidmat masyarakat, delegasi UPSI telah menyalurkan sumbangan kepada Pondok Yatim, Piatu dan Dhu‘fak Al-Munawaroh, sekaligus menyemai nilai empati dan kepedulian sosial dalam kalangan mahasiswa.

Momen istimewa turut tercipta apabila mereka diberi penghormatan meraikan Hari Ulang Tahun Indonesia bersama masyarakat setempat, lengkap berpakaian busana kebangsaan Malaysia sebagai tanda persahabatan dan hormat budaya antara dua negara serumpun.

Penyertaan dalam ABET 2025 ini telah memberi pendedahan berharga kepada mahasiswa UPSI bukan sahaja dari sudut akademik, malah turut memperkasa aspek kepimpinan, komunikasi antara budaya, kepekaan sosial dan kreativiti dalam pendidikan.

Segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh, khususnya dalam bidang pedagogi, seni budaya dan pembangunan komuniti, mampu menjadi inspirasi serta amalan terbaik yang boleh diaplikasikan dalam suasana pembelajaran di UPSI.

Program ini sekali gus mengukuhkan lagi jaringan antarabangsa universiti melalui CAPEU dan membuka ruang lebih luas untuk kolaborasi pendidikan pada masa hadapan.