Oleh : Nursyafika Abdullah dan Dr. Mohamad Albaree Abdul

Tanjong Malim, 19 Jun 2025 – FPM FEST: UPSI Mind War, sebuah program berimpak tinggi anjuran Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sidang 2024/2025 telah berlangsung dengan penuh semangat dan keterujaan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis perasmian program UPSI Mind War telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pembangunan Manusia.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Abdul Halim turut menegaskan bahawa program sebegini memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kecerdasan emosi, kepimpinan serta daya tahan menghadapi cabaran dunia sebenar.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh penasihat Persatuan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr. Mohamad Albaree bin Abdul yang menyifatkan UPSI Mind War sebagai platform strategik dalam mencetuskan daya saing intelektual mahasiswa merentas fakulti.

Menurut beliau, pelaksanaan aktiviti rentas bidang seperti ini bukan sahaja merangsang pemikiran kritis dan kemahiran berfikir aras tinggi, malah memperkukuh komunikasi berpasukan serta membina jaringan kerjasama antara pelajar pelbagai disiplin ilmu selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Pengarah program, Fatin Dalila Azmi berkata bahawa objektif utama penganjuran UPSI Mind War adalah untuk menyediakan platform interaktif yang mencabar daya intelek pelajar melalui pendekatan santai tetapi kompetitif.

Tambahan lagi, program ini bertujuan mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama kumpulan serta meningkatkan kepekaan pelajar terhadap penyelesaian masalah secara efektif.

Program yang bermula dari pukul 8:30 malam hingga 11:00 malam ini menampilkan tiga pusingan cabaran utama iaitu Kuiz Pantas, Pattern Recognition, dan Pixel Number.

Aktiviti ini bukan sahaja menguji kepantasan berfikir dan ketajaman pemerhatian peserta, malah menjadi platform untuk memupuk kerjasama berpasukan serta mengeratkan hubungan antara pelajar pelbagai fakulti dalam suasana yang santai tetapi kompetitif.

Pertandingan UPSI Mind War berlangsung dalam tiga pusingan utama yang mencabar keupayaan berfikir peserta dari pelbagai sudut.

Pusingan pertama iaitu Kuiz Pantas menguji pengetahuan am, logik asas dan keupayaan peserta menjawab soalan dengan tepat dalam masa yang singkat.

Seterusnya, pusingan kedua memperkenalkan cabaran Pattern Recognition, di mana peserta perlu mengenal pasti corak dan pola tersembunyi yang dipaparkan secara visual. Cabaran ini memerlukan pemerhatian yang tajam serta kemahiran analisis.

Pusingan ketiga iaitu Pixel Number menjadi cabaran paling mencabar apabila peserta dikehendaki untuk meneka angka berdasarkan imej kabur yang terhasil daripada susunan pixel, sekaligus menguji fokus, inferens logik dan ketelitian dalam membuat keputusan.

Program ini memberi impak langsung terhadap pembangunan modal insan mahasiswa UPSI dengan menyokong pencapaian Teras Strategik Universiti iaitu Keutuhan Modal Insan, Keunggulan Graduan, dan Kelestarian Ekosistem.

Ia secara langsung menyediakan platform pembelajaran yang menyeronokkan tetapi tetap menuntut kemahiran insaniah dan intelektual.

Majlis penutupan menyaksikan penyampaian hadiah kepada kumpulan pemenang, disusuli dengan sesi fotografi sebagai kenangan. Para peserta dan tetamu pulang dengan semangat yang berkobar serta pengalaman yang pastinya akan dikenang dalam perjalanan akademik mereka.

Secara keseluruhannya, FPM FEST : UPSI Mind War bukan sekadar satu pertandingan, tetapi medan latihan minda yang mencorakkan pelajar menjadi individu yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Program ini berjaya menggabungkan unsur hiburan, pendidikan dan kolaborasi menjadikannya antara aktiviti paling dinamik.