Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon
Tanjong Malim, 11 Julai 2025 – Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Taklimat Pelaksanaan Program Perantis Guru (KPR3072) bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Khas, ambilan A221 & A222.
Taklimat ini merupakan fasa persediaan awal yang penting sebelum pelajar menjalani pengalaman lapangan di sekolah masing-masing selama empat minggu, sebagai sebahagian daripada latihan berstruktur dalam membina profesionalisme keguruan yang holistik.

Seramai 114 orang pelajar ISMP Pendidikan Khas telah ditempatkan di seluruh negara, termasuk di sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK). Penempatan ini membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam persekitaran sebenar yang melibatkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon, selaku Penyelaras Program Perantis Guru bagi ISMP Pendidikan Khas. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa KPR3072 bukan sahaja menyediakan pendedahan awal kepada ekosistem pendidikan, malah menjadi asas kepada amalan reflektif, pemahaman budaya organisasi sekolahdan pengukuhan etika profesionalisme keguruan dalam konteks pendidikan khas.
“Pelajar perlu melaksanakan semua tugasan dengan penuh tanggungjawab dan integriti,” tegas beliau. “Portfolio lengkap yang disediakan akan menjadi bukti keupayaan pelajar dalam merancang, melaksana dan menilai proses pengajaran serta penglibatan dalam aspek pengurusan sekolah.”

Portfolio ini melibatkan elemen seperti: Laporan Institusi dan Refleksi Mingguan, Laporan Pemerhatian PdPc guru pembimbing, Penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), Pengajaran secara bersama dan individu, Aktiviti kokurikulum dan pengurusan dan Penilaian oleh guru pembimbing. Empat CLO Utama Penilaian Kursus terdiri daripada Pengenalan budaya dan struktur sekolah, Pemerhatian dan analisis pengajaran guru, Pelaksanaan pengajaran dan refleksi serta Penglibatan dalam kokurikulum dan pengurusan sekolah.
Menurut Dr. Vestly Kong Liang Soon, pelajar ISMP Pendidikan Khas berhadapan cabaran yang unik, terutamanya dalam aspek pengurusan tingkah laku, adaptasi pedagogi dan perancangan strategi PdP bersesuaian dengan keperluan MBPK. Justeru, pelaksanaan KPR3072 menjadi medan latihan yang amat signifikan dalam mempersiapkan mereka secara profesional dan holistik.
Kursus KPR3072 mencerminkan iltizam UPSI sebagai institusi pendidikan guru terunggul negara dalam melahirkan pendidik berkualiti, beretika dan bersedia mendidik murid sama ada dalam aliran perdana mahupun pendidikan khas.
