Oleh: Haikal Musa

Tanjong Malim, 13 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menganjurkan Program Sumbangan Tabung Nahas Gerik dengan kerjasama BMW RT North serta sokongan daripada Presiden BMW RT Malaysia Book of Records, bertempat di Dataran Cemerlang Bersama, UPSI.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keprihatinan ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Prof. Dr. Nor Khalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI yang turut menyampaikan ucapan penghargaan. Turut hadir, Yang Berusaha Puan Maskana binti Ahmad, Ketua Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta barisan pegawai kanan universiti.

Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada YM Ku Rashidi Wan Teh, Presiden BMW RT North merangkap Presiden BMW RT Malaysia Book of Records, bersama barisan ahli konvoi BMW RT North yang turut memeriahkan acara. Kehadiran mereka mencerminkan semangat solidariti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti permotoran.

Antara pengisian utama majlis ialah sesi penyerahan sumbangan berjumlah RM10,400 oleh pihak BMW RT North kepada Tabung Nahas Gerik, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi tersebut. Sumbangan ini merupakan hasil kutipan sepenuhnya oleh pihak BMW RT North, manakala UPSI melalui mahasiswa Kolej Awang Had Salleh bertindak sebagai rakan pelaksana program yang membantu dari aspek pengurusan dan kelancaran acara.

Inisiatif ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terkesan, serta menunjukkan empati dan solidariti warga UPSI bersama masyarakat luar, tanpa mengira latar belakang.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat serta sesi fotografi kenangan, menandakan jalinan kerjasama antara UPSI dan komuniti luar yang semakin kukuh.

Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan masyarakat, malah menyerlahkan nilai-nilai kemanusiaan, kebersamaan dan kepimpinan sosial dalam kalangan warga universiti, khususnya mahasiswa yang berjiwa cakna dan prihatin.