Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Wan Noor Azizah Binti Wan Shamsuri

Tanjong Malim, 20 Mei 2025 – Satu kejayaan membanggakan telah dilakar oleh pasukan inovasi dari Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila mereka berjaya merangkul pingat perak dalam pertandingan International Education Innovation Competitionsempena program Edu@Innovate 2025. Pertandingan tersebut telah berlangsung dengan meriah pada 19 hingga 20 Mei 2025 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, UPSI.

Inovasi yang dipertandingkan ialah BIM4ALL: E-Modul Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia, iaitu satu inisiatif pembelajaran digital yang dirangka untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), khususnya dalam kalangan guru pelatih ISMP Pendidikan Khas yang mengambil kursus Kod Tangan Bahasa Isyarat Malaysia. Modul ini dibangunkan sebagai langkah memperkukuh pemahaman terhadap struktur linguistik BIM serta menyokong pelaksanaan pendidikan inklusif yang sejajar dengan dasar Education for All.

Pasukan yang terlibat dalam pembangunan inovasi ini terdiri daripada 3 ahli akademik iaitu Dr. Vestly Kong Liang Soon, Cikgu Chong Ai Peng dan Cikgu Suresh Kumar A/L Kuppusamy serta 5 pelajar pendidikan khas ISMP UPSI Wan Noor Azizah Binti Wan Shamsuri, Pollie Lim Poh Yue, Mohamad Aizad Azizzuddin Bin Ismail, Syarfa Aliah Binti Syaiful Azhar dan Andrew Gani Anak Leonard yang berpengalaman dalam bidang ini.

Modul BIM4ALL direka bentuk secara interaktif, menggabungkan penggunaan aplikasi Gamification, video bertema, dan penilaian kendiri secara atas talian. Ciri-ciri ini membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran kendiri yang fleksibel, di samping memudahkan pensyarah menilai keberkesanan pengajaran secara sistematik. Hasil dapatan awal daripada penilaian pengguna menunjukkan 93% pelajar memahami kandungan modul dengan baik, manakala 87% menunjukkan peningkatan penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia selepas menggunakannya.

Dalam sesi pembentangan, pasukan turut menekankan bahawa Bahasa Isyarat Malaysia bukan sekadar satu bentuk terjemahan Bahasa Melayu, sebaliknya merupakan satu sistem bahasa yang tersendiri, lengkap dengan struktur tatabahasa dan semantik unik. BIM telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi bagi komuniti pekak sejak tahun 2008 dan usaha ini memperkukuh kefahaman serta penghargaan masyarakat terhadap kepelbagaian komunikasi manusia.

Penyertaan dan kemenangan dalam Edu@Innovate 2025 memberikan ruang kepada pasukan penyelidik untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan pembangunan inovasi pendidikan ke peringkat antarabangsa. Edu@Innovate merupakan platform tahunan anjuran UPSI yang menghimpunkan inovasi dalam pelbagai kluster termasuk Teknologi Pembelajaran, Pedagogi, Kurikulum, TVET, Literasi dan Pendidikan Khas.

Menurut Dr. Vestly Kong Liang Soon selaku ketua projek, “BIM4ALL bukan sahaja bertujuan membina kompetensi guru pelatih, tetapi juga mengangkat martabat Bahasa Isyarat sebagai alat komunikasi yang sah dan inklusif dalam sistem pendidikan negara.”

Kejayaan ini memperkukuhkan lagi kedudukan UPSI sebagai peneraju dalam bidang pendidikan khas dan inovasi pengajaran, sekali gus menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan graduan celik komunikasi dan teknologi. Modul ini turut menunjukkan potensi besar untuk dikembangkan ke institusi pendidikan lain serta badan bukan kerajaan yang menyokong komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).