Oleh: Mariah Mardhati Nordin
Trnava, Slovakia, 5 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) terus melakar sejarah pengantarabangsaan melalui Program Mobiliti Erasmus+, kali ini di University of Trnava, Slovakia. Program selama tiga bulan, bermula 5 Mac hingga 31 Mei 2025 ini, dilaksanakan dengan jumlah tajaan penuh sebanyak RM35,869.42, di bawah pembiayaan biasiswa Erasmus+.
Seramai dua orang pelajar daripada Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) iaitu Mariah Mardhati Nordin dan Sri Roshini Patmanathan terpilih sebagai wakil mahasiswa UPSI.
Mereka diiringi oleh Dr Seah Siok Peh, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak(JPAKK) dan Profesor Dr Nordin Mamat melalui program pertukaran staf akademik.
Sepanjang program, delegasi UPSI mengambil empat subjek utama iaitu Arteteraphy, Disorders of Physical Development in Childhood and Adolescence, Musicophiletics, dan School Physical and Health Education.
Subjek-subjek ini dipilih bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pendekatan pedagogi dan perkembangan holistik kanak-kanak di peringkat antarabangsa.
Pelaksanaan mobiliti ini dilihat bukan sahaja membuka peluang luas menimba ilmu, malah mengukuhkan jaringan akademik rentas benua.
Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar dari Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak(JPAKK) mampu menyahut cabaran untuk ke rantau antarabangsa, seterusnya membawa pulang pengalaman berharga untuk dikongsi bersama rakan fakulti dan universiti.
Delegasi turut memastikan kebajikan pelajar terjamin melalui perbincangan yuran asrama (dormitory) dan pengesahan pembayaran, menjadikan suasana pembelajaran lebih kondusif sepanjang tempoh berada di Slovakia.

Permulaan Langkah: Dari KLIA ke Trnava
Gambar pertama ini merakamkan detik keberangkatan delegasi UPSI di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur bersama keluarga dan pensyarah pengiring yang hadir memberi sokongan. Ia melambangkan semangat juang dan keterujaan memulakan perjalanan akademik ke benua Eropah sebagai wakil rasmi UPSI.

Delegasi UPSI Bersama Bendera UPSI & Prof Dana Masarykova
Setibanya di University of Trnava, delegasi disambut mesra oleh pihak pengurusan universiti iaitu Prof Dana Masarykova selaku Vice Rector University of Trnava, bersama Mr. Fristak selaku koordinator mobiliti. Delegasi turut berkesempatan merakam gambar kenangan memegang bendera UPSI sebagai simbolik membawa nama universiti ke pentas antarabangsa.

Rundingan Akademik – Pemilihan Subjek & Kredit
Sesi perbincangan akademik di bilik mesyuarat menjadi langkah penting memastikan kelancaran pengajian. Delegasi berbincang secara terperinci mengenai subjek yang akan diambil, jumlah nilai kredit dan pendaftaran kad pelajar rasmi sebagai pelajar University of Trnava. Perbincangan ini tertumpu tertumpu pada empat subjek utama iaitu Arteteraphy, Disorders of Physical Development in Childhood and Adolescence, Musicophiletics dan School Physical and Health Education.

Penerimaan Cenderahati Daripada Dean dan Koordinator University Of Trnava
Sebagai tanda menghargai kedatangan delegasi UPSI, pihak University of Trnava menyampaikan cenderahati istimewa kepada wakil pelajar. “Hubungan erat ini diharap akan terus subur dengan lebih banyak kolaborasi pada masa hadapan,” ujar Mr.Fristak, Koordinator Program.

Perasmian Saint Patrick Day
Salah satu detik istimewa adalah penyertaan delegasi dalam program perasmian Saint Patrick Day di kampus. Majlis ini dirasmikan oleh Dermot McGauran, Duta Besar Ireland ke Republik Slovakia. Program ini menjadi platform perkongsian budaya antara Ireland, Slovakia dan komuniti antarabangsa di universiti.

Gambar Bersama Dermot McGauran selaku Ambassador of Ireland to the Slovak Republic
Delegasi UPSI mengenakan pakaian kebangsaan sebagai cara memperkenalkan budaya Malaysia di pentas antarabangsa. Mariah mengenakan baju kebaya songket melambangkan kaum Melayu di Malaysia, manakala Roshini mengenakan baju Punjabi mewakili kaum India. Keunikan pakaian tradisional ini menunjukkan Malaysia sebagai sebuah multicultural country yang kaya dengan kepelbagaian budaya. “Semoga program ini menjadi jambatan penghubung budaya antara Ireland dan Slovakia,” kata Dermot McGauran dalam ucapannya. Gambar ini dirakam semasa majlis perasmian Saint Patrick Day bersama pihak Kedutaan Ireland, dan menjadi titik mula memperkenalkan keunikan Malaysia kepada rakan antarabangsa.

Mewakili Malaysia di Radio Slovakia
Satu pengalaman unik yang tidak disangka ialah jemputan ke siaran podcast bagi siaran Radio Slovakia di Radio Aetter 107.2 FM bersama Klaudia Mekysova, pelajar University of Trnava. Dalam rancangan tersebut, Mariah berpeluang berkongsi tentang keunikan budaya Malaysia, sedikit sebanyak tentang Universiti Pendidikan
Sultan Idris, kemudahan di UPSI, serta pengalaman sepanjang berada di Slovakia. Detik ini membuka ruang memperkenalkan UPSI ke pengetahuan masyarakat tempatan Slovakia.

Eksplorasi Budaya & Sejarah Ke Bojnice Castle dan Zoo Bojnice
Delegasi turut menyertai beberapa program universiti termasuk lawatan ilmiah ke Bojnice Castle dan Zoo Bojnice. Delegasi belajar mengenai sejarah aristokrat yang pernah mendiami istana yang terkenal dengan reka bentuk seakan “fairytale” itu. Lawatan ke Zoo Bojnice pula memberi peluang melihat secara dekat kepelbagaian spesies haiwan di rantau Eropah.

Adventure Train – Eksplorasi 2 Negara dan 4 Bandar
Satu lagi aktiviti menarik adalah program Adventure Train, di mana delegasi berkesempatan untuk menjelajah 4 bandar di dua negara — Slovakia dan Czech Republik. Pelbagai aktiviti interaktif seperti treasure hunt berkaitan bangunan bersejarah, menyelesaikan teka-teki, dan pengalaman bermalam di dalam kereta api menjadikan program ini medan terbaik mengeratkan hubungan dengan rakan Erasmus Student Network (ESN) dari pelbagai universiti di Slovakia.

Basketball Bersama Erasmus Student
Aktiviti bola keranjang bersama rakan Erasmus dianjurkan untuk membina semangat kesukanan, saling berkenalan dan mengeratkan hubungan dengan pelajar antarabangsa. Selain mengekalkan gaya hidup sihat, aktiviti ini juga menjadi ruang kami menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang pelbagai budaya.

Laser Tag Game – Aktiviti Sosial & Bonding
Selain aktiviti sukan, kami juga menyertai permainan Laser Tag yang lebih santai tetapi penuh strategi. Permainan ini menjadi peluang untuk bersosial, belajar berkerjasama dalam pasukan dan membina keyakinan diri ketika berinteraksi dengan rakan antarabangsa. Suasana santai begini membantu kami lebih mudah menyesuaikan diri dengan budaya baharu.

Penutup – Serahan Cenderahati CPRI
Sebelum pulang ke tanah air, kami mengadakan perjumpaan penutup bersama Prof Dr Nordin, Mr Fristak, dan seluruh delegasi. Bendera UPSI sekali lagi dikibarkan megah sebagai simbolik penutup program mobiliti. Pihak UPSI turut menyerahkan cenderahati daripada Centre of Pedagogical Research and Innovation (CPRI) sebagai tanda penghargaan atas kerjasama baik sepanjang tempoh mobiliti ini.
Mr. Fristak, dalam ucapan penutupnya, berkata, “Saya berharap hubungan baik ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran ilmu dan budaya di masa akan datang. Kami amat menantikan kunjungan pelajar UPSI lagi.”
Program Mobiliti Erasmus+ ini diharapkan dapat membentuk mahasiswa UPSI yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki pemikiran terbuka, kemahiran insaniah yang mantap, serta bersedia bersaing di peringkat global. Pengalaman merentas benua ini membuktikan bahawa tiada batasan untuk menimba ilmu selagi ada tekad dan semangat untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia.
