OLEH: LIA MASTISA JAMIL DAN MUHAMMAD ARIFF HAKIMIN MOHD ZAKI
TANJONG MALIM – Pada 14 Mei 2025 dan 18 Jun 2025, seramai 33 orang mahasiswa/i Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas semester 6 yang mengambil kursus KBK3113: Ko-kurikulum Rekreasi dan Sokongan Komuniti Dalam Pendidikan Khas telah mengadakan program melibatkan golongan Orang Kurang Upaya iaitu bersama pelatih daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bitara UPSI dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Slim River.
Program ini dijalankan dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, dan sukaneka yang bersifat inklusif dan menyeronokkan yang bertempat di Pusat Sukan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Slim River.



Program dimulakan dengan sesi senamrobik berkumpulan yang dipimpin oleh mahasiswa/i kursus KBK3113 yang disertai oleh pelatih PPDK.
Pergerakan senamrobik yang mudah dan berirama telah disusun khas agar bersesuaian dengan tahap kebolehan fizikal pelatih. Alunan muzik yang rancak serta bimbingan secara langsung menjadikan suasana lebih ceria dan bersemangat.
Aktiviti ini membantu pelatih meningkatkan kecergasan fizikal, koordinasi pergerakan serta memberi semangat positif kepada semua peserta.



Program ini diteruskan dengan lima aktiviti sukaneka yang dirancang bagi menggalakkan penyertaan aktif, merangsang kemahiran motor serta mewujudkan suasana ceria dalam kalangan pelatih PPDK.
Aktiviti pertama, Step by Step, memerlukan pelatih bergerak ke hadapan dengan hanya memijak kertas yang disediakan yang membantu meningkatkan fokus, imbangan badan dan strategi pergerakan.
Seterusnya, aktiviti Dahi ke Mulut memerlukan pelatih membawa biskut ke mulut tanpa menggunakan tangan, sekali gus melatih kawalan otot muka dan mencetuskan suasana riang.
Bagi aktiviti Fokus dan Cepat, pelatih diuji dari segi ketepatan dan kecekapan apabila perlu mengambil botol secepat mungkin mengikut arahan fasilitator.
Manakala dalam Teka Warna, pelatih diminta meneka susunan warna cawan yang tersembunyi, melatih daya ingatan dan tumpuan visual pelatih PPDK.


Akhir sekali, aktiviti Cawan Paling Pantas menguji koordinasi badan dan kecekapan apabila pelatih perlu memasukkan cawan ke dalam kotak dengan pantas.
Kesemua aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi peluang kepada pelatih untuk mengembangkan kemahiran motor, kognitif dan sosial dalam suasana yang selamat.
Selain itu, semasa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Slim River, pelbagai aktiviti interaktif dan bermanfaat dijalankan.
Antaranya ialah aktiviti senamrobik ceria yang menceriakan suasana dan menggalakkan pelatih PPDK bergerak aktif secara fizikal sambil membina hubungan mesra dengan mahasiswa.
Seterusnya, aktiviti Menanam Cinta memberi peluang kepada pelatih dan mahasiswa bekerjasama menanam pokok seperti cili dan serai, yang memupuk nilai tanggungjawab dan semangat kerjasama.
Dalam aktiviti mural dan gotong-royong, pelatih dan mahasiswa melukis dinding dengan tema alam sekitar sambil membersihkan kawasan PPDK, sekali gus menceriakan persekitaran dan menanamkan rasa cinta terhadap komuniti.
Di samping itu,, pelatih turut terlibat dalam aktiviti seni seperti mewarna labu sayong, melipat origami, dan membuat bunga daripada tanah liat (clay) yang membantu meningkatkan kemahiran motor halus, fokus, dan ekspresi kreatif mereka.


Kesemua aktiviti ini telah memberi kesan positif kepada pelatih PPDK dari segi keyakinan diri, keterampilan sosial, dan semangat ingin belajar.
Bagi mahasiswa pula, program ini menjadi platform latihan praktikal yang mengasah empati, kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan kesedaran sosial, sekali gus memperkukuh jati diri mereka sebagai pendidik khas yang lebih profesional dan prihatin.
Tambahan lagi, aktiviti dirancang dengan mengambil kira pelbagai tahap kebolehan pelatih. Semangat kerjasama, galakan antara fasilitator dan pelatih serta suasana yang positif menjadikan setiap aktiviti berlangsung dalam keadaan ceria dan terkawal.
Pelatih bukan sahaja menunjukkan keberanian dan semangat mencuba, malah saling menyokong antara satu sama lain, membina nilai empati dan kekeluargaan.
Bagi mahasiswa/i kursus KBK3113 yang terlibat, pengalaman autentik ini menjadi medium pembelajaran berasaskan amali yang sangat bermakna.
Mahasiswa/i berpeluang mengaplikasikan teori pengajaran adaptif dan intervensi yang dipelajari dalam kursus serta mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, pengurusan aktiviti, kepimpinan dan kerjasama dalam komuniti sebenar.
Cabaran seperti menyesuaikan aktiviti dengan kebolehan pelatih, memastikan keselamatan dan mengendalikan situasi spontan melatih pelajar untuk lebih cekap, fleksibel dan prihatin terhadap keperluan OKU.
Secara keseluruhannya, program ini membuktikan bahawa aktiviti fizikal seperti senamrobik dan sukaneka bukan sekadar hiburan, malah satu bentuk intervensi pendidikan yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan holistik golongan OKU termasuk sosioemosi mereka.
Program ini juga mencerminkan komitmen universiti dalam menjadi pusat jalinan kolaborasi antara komuniti istimewa dan institut pengajian tinggi demi melahirkan bakal pendidik yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berjiwa besar dan cakna terhadap komuniti.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi pemerkasaan inklusif yang progresif pada masa akan datang.

