Oleh: Muhamad Aiman Hakim bin Mohd Saufi, Nur Ain Syuhada’ Mohd Sargawi & Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Institut Penyelidikan Pengajian Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Fitrah & Fitness: Wellness by Faith, sebuah program berimpak tinggi dengan penglibatan pelbagai persatuan di UPSI.

Penganjuran ini mendapat kerjasama daripada FSK, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Persatuan Pendidikan Islam UPSI, Persatuan Pengajian Malaysia UPSI, Persatuan Sejarah UPSI, Persatuan Geografi UPSI, Persatuan Pendidikan Moral UPSI, Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI, Persatuan Bahasa Arab UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI serta Rakan Siswa YADIM UPSI.

Sesi ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohamed Hanafiah

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, seorang personaliti TV3 dan TV9 serta penceramah bebas yang berpengalaman luas dalam bidang motivasi kerohanian. Beliau menekankan bahawa gaya hidup sihat menurut Islam bukan sekadar senaman dan pemakanan seimbang, tetapi juga mengandungi unsur pengurusan emosi, penjagaan hubungan dengan Allah, dan kesejahteraan mental. Program ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Muhammad Aiman bin Mohamed Izuddin, wakil pelajar ISMp Tahfiz al-Quran dan Qiraat Semester 2.

Sepanjang ceramah, para peserta diberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kesihatan secara sihat dan seimbang merangkumi aspek pemakanan, senaman, pengurusan emosi dan kesejahteraan rohani. Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek turut berkongsi tip mudah seperti mengawal tekanan melalui doa dan zikir, mengatur jadual senaman ringkas serta mengamalkan pemakanan berkhasiat. Tip-tip ini bukan sahaja praktikal, malah sarat dengan nilai keimanan yang menjadi panduan berharga untuk gaya hidup sihat dan tenang.

Program ini diadakan bersempena Karnival Kesihatan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan objektif meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan rohani berlandaskan ajaran Islam. Menurut Pengarah Program, Muhamad Aiman Hakim Mohd Saufi, penganjuran ceramah ini adalah satu usaha untuk mengingatkan warga kampus bahawa Islam menekankan penjagaan tubuh, jiwa dan akal secara menyeluruh.

“Kehidupan moden yang serba pantas sering membuatkan kita fokus pada kesihatan fizikal sahaja, sedangkan rohani turut memerlukan perhatian. Melalui ceramah ini, kami ingin mengajak warga UPSI untuk kembali kepada fitrah, mengimbangi gaya hidup dengan keimanan,” katanya.

Para peserta tekun mendengar setiap perkongsian ilmu yang bukan sahaja memberi inspirasi, malah membuka minda tentang kepentingan memupuk gaya hidup seimbang antara keperluan fizikal dan kerohanian. Pencerahan yang disampaikan membantu mereka memahami bahawa kesihatan tubuh perlu seiring dengan ketenangan jiwa, kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam melahirkan insan yang cergas, berdaya saing dan kukuh pegangan imannya selaras dengan tuntutan ajaran Islam.

Seterusnya, sesi soal jawab diadakan bagi merungkai pelbagai persoalan dan permasalahan yang dihadapi pelajar. Mahasiswa berpeluang mengemukakan soalan secara terbuka kepada penceramah, khususnya berkaitan isu kesihatan yang sering dialami seperti kesihatan mental, tekanan akademik dan pengurusan emosi secara berkesan. Sesi ini bukan sahaja memberikan penjelasan yang jelas, malah turut menawarkan panduan praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Program diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Ustaz Hanafiah oleh Dr. Abu Zarrin Selamat, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FSK. Sesi cabutan bertuah pula disempurnakan oleh Abdul Azim bin Kasri, Yang Dipertua Persatuan Tahfiz dan Qiraat. Secara keseluruhannya, program ini memberi manfaat besar kepada peserta, justeru wajar dianjurkan secara berkala pada masa hadapan bagi terus menyemarakkan pengisian yang bermanfaat kepada warga kampus.