Oleh: Norliza Johar

Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Pertandingan Pidato Dasar Kesihatan Negara.

Pertandingan Pidato Dasar Kesihatan Negara ini telah berlangsung di Bilik Interaksi, FSK. Program ini memberi impak positif apabila dilihat memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, berkongsi ilmu, serta memperkukuh kemahiran komunikasi dalam membincangkan isu-isu kesihatan secara kritis dan berkesan di khalayak ramai dalam saluran yang betul.

Dalam era moden ini, pelbagai isu berkaitan kesihatan dilihat semakin meruncingkan dan membimbangkan. Gaya hidup yang semakin tidak sihat mendorong kepada peluang berlakunya peningkatan pelbagai penyakit dan wabak serta masalah kesihatan mental. Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan kesihatan perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan. Program ini berjaya dilaksanakan atas usaha gigih Pengarah Program, Nur Shaqira Nabila Jamal yang berperanan besar dalam merancang dan menyusun atur perjalanan program.

Nur Shaqira Nabila, Pengarah Program
Dr. Intan Suria merasmikan program yang dilaksanakan dengan jayanya

Program Pertadingan Pidato Dasar Kesihatan Negara ini juga telah dirasmikan oleh Pensyarah Kanan FSK, Dr. Intan Suria Hamzah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pengarah program dan ahli pelaksana program yang bertungkus lumus dalam memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar. Beliau turut menyatakan ucapan terima kasih kepada peserta pertandingan yang berani mengasah bakat di khalayak ramai dengan ucapan pidato masing-masing yang amat memukau para juri.

Barisan juri jemputan bersama para peserta Pertandingan Pidato Dasar Kesihatan Negara

Melalui program ini diharapkan mahasiswa/i dan masyarakat umum dapat memperoleh manfaat serta menanamkan budaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Selain itu, dengan penganjuran program ini, diharapkan peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian serta berperanan sebagai agen perubahan dalam menyebarkan kesedaran kesihatan kepada masyarakat. Pihak Penganjur juga berharap agar program seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang diikuti dengan pelbagai penambahbaikan yang seiring dengan peredaran masa.

Barisan ahli pelaksana Program Pertandingan Pidato Dasar Kesihatan Negara