Oleh: Nur Shaqira Nabila Jamal

Tanjong Malim, 31 Mei 2025 – Kuiz “Battle of the Best: Pengetahuan Pengajian Am” anjuran Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menghimpunkan seramai 1,460 pelajar Tingkatan 6 dari seluruh negara. Pertandingan ini dijalankan secara dalam talian melalui platform Google Form.

Program ini bertujuan menguji tahap penguasaan pelajar terhadap subjek Pengajian Am STPM, di samping memupuk pemikiran kritis dan analitikal berkaitan isu-isu semasa. Inisiatif ini turut memperkukuh pembelajaran berasaskan teknologi digital serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, iaitu Pendidikan Berkualiti.

Bermula seawal jam 8.30 pagi, jawatankuasa teknikal berkumpul di Bilik Kaca, FSK, bagi melakukan persiapan akhir sebelum kuiz dibuka secara rasmi pada jam 10.00 pagi. Kuiz tersebut mengandungi 40 soalan objektif pelbagai pilihan berasaskan sukatan pelajaran STPM dan dijalankan selama satu jam.

Walaupun terdapat cabaran kecil seperti capaian internet dalam kalangan peserta, keseluruhan program berjalan lancar dengan sistem markah automatik dan semakan silang oleh AJK teknikal. Pemenang diumumkan pada majlis penutup maya, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan dan penyertaan digital kepada semua peserta.

Menurut Pengarah Program, Nur Shaqira Nabila Jamal, kejayaan iniadalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk AJK pelaksana yang terdiri daripada pelajar UPSI sendiri. Beliau berharap agar program ini dapat dijadikan acara tahunan bagi mencetus semangat persaingan akademik yang sihat dan inovatif.