Oleh: Bazli Razak
SABAK BERNAM– Seramai 200 peserta terdiri daripada pembentang dan pempamer inovasi menyertai Kolokium Inovasi Didik Sabak Bernam (KID-SB) Peringkat Negeri Selangor 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini.
Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Dr. Zakaria Othman berkata, kolokium julung kali itu menjadi medan ilmu berimpak tinggi yang menghimpunkan warga pendidik dalam semangat kolaboratif demi memperkukuh agenda pendidikan seiring aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan gagasan Malaysia MADANI.
“Sebanyak 34 pembentangan dan 59 pempamer inovasi telah mengambil bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan peserta 200 orang.
“Program ini bukan sekadar medan perkongsian ilmu, bahkan ruang signifikan untuk mencambah gagasan, mengetengahkan amalan terbaik dan menjana inovasi pedagogi agar sistem pendidikan terus relevan, holistik dan berdaya saing,”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan KID-SB di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, baru-baru ini.
Menurut beliau, penganjuran kolokium itu memberi empat fokus utama iaitu menjadi platform perkongsian ilmu, meningkatkan profesionalisme warga pendidik, merangsang pemikiran kreatif serta memperkukuh jaringan kerjasama antara sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), agensi luar dan institusi pengajian tinggi.


Sementara itu, Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata, program itu penting dalam merungkai cabaran pendidikan semasa dan masa hadapan, khususnya dalam mendepani era abad ke-21.
“Kolokium ini bukan sekadar perkongsian inovasi, tetapi juga platform untuk merangka strategi dan pelan tindakan memastikan pendidikan kekal relevan dan holistik kepada anak didik.
“Inovasi adalah kunci transformasi pendidikan kerana dunia pendidikan terus berubah dan guru bersama murid perlu kreatif serta adaptif.
Beliau menegaskan bahawa guru merupakan arkitek perubahan yang mampu membina generasi murid berdaya fikir, berani mencuba dan bersedia mendepani cabaran masa depan.
“Inovasi bukan hanya tentang teknologi, tetapi juga strategi pengajaran, pengurusan bilik darjah, pentaksiran dan penyampaian kandungan. Perkongsian amalan terbaik seperti dalam kolokium ini sangat penting untuk manfaat bersama warga pendidikan,” katanya.
Dr. Ridzwan turut menggariskan beberapa cabaran pendidikan abad ke-21 termasuk penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), jurang digital, keselamatan siber, pembangunan kemahiran insaniah, globalisasi, pembelajaran berpusatkan murid serta isu keciciran dan kelesuan murid pasca pandemik.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI), realiti tambahan (AR) dan data raya berkembang pesat. Guru serta murid perlu celik teknologi digital dan literasi AI agar mampu menyesuaikan proses PdP dengan perkembangan semasa, tanpa mengabaikan nilai dan etika,” katanya.
Kolokium berkenaan dianjurkan oleh PPD Sabak Bernam dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI.

