Oleh: Nazirul Haizri Ridzuaan
BESUT, 7 Ogos 2025 – “Bagaikan pulang ke rumah lama,” demikian ungkapan yang bermain di bibir para alumni apabila melangkah masuk ke Temu Primula Hotel, Besut petang tadi. Program Kembara Santuni Alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang dianjurkan Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Maybank, Carro dan Human Complete Network, mengundang rasa rindu dan bangga kepada alma mater yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.
Bermula jam 2.00 petang, suasana dewan menjadi riuh rendah dengan pertemuan semula rakan-rakan lama yang pernah menimba ilmu bersama di kampus, ada yang sudah puluhan tahun tidak bersua. Senyuman, pelukan mesra dan gelak tawa mengiringi sesi pendaftaran, disusuli agihan cenderamata yang menjadi tanda ingatan penganjur.
Kehadiran Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said disambut dengan tepukan gemuruh. Turut memeriahkan majlis ialah Presiden Alumni Anak Kandung Suluh Budiman Negeri Terengganu, Aznan Abas dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Aliziyad Abas yang hadir sebagai tanda sokongan kepada usaha penyantunan alumni ini.
Majlis dibuka dengan sesi fotografi, nyanyian penuh semangat Lagu Ibu Kandung Suluh Budiman dan bacaan al-Fatihah, mengembalikan memori zaman belajar yang sarat dengan nilai hormat dan kecintaan kepada ilmu. Dalam ucapan aluannya, Aznan menyeru alumni untuk terus menjadi penyumbang kepada universiti dan masyarakat. Seterusnya, Dr. Omar Firdaus menegaskan bahawa jaringan alumni adalah aset strategik UPSI yang wajar diperkasa.
“Melalui Kembara Santuni, budaya ilmu dan bakti dapat diperkasa demi manfaat pendidikan serta komuniti setempat,” ujar beliau dengan penuh semangat, disambut anggukan setuju para hadirin.


Sesi penyerahan Kad Alumni menjadi momen simbolik yang memperkukuh ikatan antara graduan dan universiti, sebelum semua tetamu dijemput menikmati jamuan minum petang. Dalam suasana santai itu, perbualan tentang kerjaya, kenangan di kampus, dan idea untuk program masa depan berlangsung tanpa henti.

Program ini bukan sekadar temu mesra, ia juga membuka ruang kepada pembentukan hubungan baharu melibatkan alumni, agensi setempat dan rakan industri. Antara potensi kolaborasi yang dibincangkan termasuk program komuniti, bimbingan kerjaya dan sumbangan kepakaran bagi membantu pelajar UPSI.
Pusat Alumni menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, dengan harapan momentum yang dicipta di Besut akan menjadi pemangkin kepada siri Kembara Santuni Alumni di negeri-negeri lain. Apa yang pasti, semangat persaudaraan dan kecintaan kepada ilmu yang terpahat hari ini akan terus mekar, menjadikan alumni UPSI bukan sahaja sebagai kenangan, tetapi sebagai kekuatan masa depan.
