Oleh: Nazirul Haizri

Kuala Terengganu, 8 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Alumni, dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Lautan, Jabatan Taman Laut Malaysia dan pasukan penyelam UPSI, melaksanakan Program Penyelenggaraan Kerangka Besi Propagasi Karang Taman Laut Redang sebagai usaha berterusan memelihara dan memulihkan ekosistem marin negara.

Program yang berlangsung pada 08 Ogos lalu disertai oleh 20 peserta terdiri daripada staf UPSI, alumni, sukarelawan penyelam serta rakan kolaborasi. Penganjuran ini bertujuan memastikan struktur propagasi karang sentiasa berada dalam keadaan baik bagi menyokong pertumbuhan terumbu karang baharu, di samping meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan pemuliharaan hidupan laut.

Aktiviti dimulakan dengan taklimat keselamatan dan penerangan objektif program oleh pihak Jabatan Taman Laut Malaysia. Peserta kemudiannya menjalani sesi lawatan tapak dan pemeriksaan menyeluruh terhadap kerangka besi propagasi karang. Antara kerja penyelenggaraan yang dijalankan termasuk pembersihan kerangka daripada alga dan serpihan laut, penggantian bahagian struktur yang rosak akibat hakisan, serta penempatan semula anak karang di lokasi strategik untuk memastikan kelangsungan pertumbuhannya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, program ini memberi impak besar dalam usaha pemeliharaan alam marin dan bertepatan dengan matlamat universiti untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Kelestarian alam marin adalah tanggungjawab bersama. Usaha kecil hari ini akan memberi kesan besar pada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said pula menegaskan bahawa penglibatan alumni dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti serta agensi berkaitan.

“Program seperti ini bukan sahaja memupuk semangat sukarelawan, malah membuka ruang kolaborasi strategik demi memastikan khazanah laut terus terpelihara,” jelas beliau.

Melalui inisiatif ini, peserta bukan sahaja mendapat pendedahan praktikal mengenai teknik penyelenggaraan propagasi karang, malah turut berpeluang mempelajari aspek saintifik berkaitan pemuliharaan marin. Usaha ini secara langsung menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari Kehidupan di Bawah Air.

Pihak penganjur berharap program ini dapat dijadikan acara tahunan supaya kesinambungan usaha pemeliharaan terumbu karang di Pulau Redang dapat diperkukuh, sekali gus menjadikan lokasi ini bukan sahaja tarikan pelancongan tetapi juga contoh terbaik kejayaan projek pemeliharaan ekosistem marin di Malaysia.