Kuala Terengganu, 9 Ogos 2025 – Pulau Redang, pulau peranginan terkenal ini bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan yang mempesona, malah baru-baru ini menjadi saksi kepada ikatan persaudaraan yang semakin erat antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan para alumninya. Program Kembara Santuni Alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kampung Redang Baru, dianjurkan oleh Pusat Alumni UPSI dengan kerjasama Persatuan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) Negeri Terengganu dan Persatuan Penduduk Pulau Redang.

Majlis yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam itu telah menghimpunkan seramai 14 orang alumni daripada pelbagai era yang sanggup meluangkan masa untuk bersama dalam satu pertemuan penuh makna. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said; Presiden Alumni AKSB Negeri Terengganu, Aznan Abas; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang merasmikan program berkenaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Aznan Abas yang menzahirkan rasa terharu dengan komitmen UPSI untuk terus menyantuni alumni di kawasan terpencil seperti Pulau Redang. Beliau menekankan bahawa usaha sebegini membuktikan UPSI bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga keluarga besar yang sentiasa mengambil berat kebajikan warganya walau di mana jua mereka berada.

Ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Norkhalid turut memberikan inspirasi kepada para hadirin. Beliau menegaskan bahawa setiap alumni membawa nilai serta pengalaman berharga yang mampu menjadi panduan dan sinar buat generasi akan datang. Jelasnya lagi, kehadiran di Pulau Redang membuktikan bahawa jarak bukanlah penghalang untuk terus menyantuni komuniti dan memberi manfaat. Ucapan tersebut mendapat tepukan gemuruh daripada para alumni yang hadir.

Dalam ucapannya, Dr. Omar Firdaus menggariskan peranan Pusat Alumni UPSI sebagai jambatan penghubung antara universiti dan alumni. Beliau menegaskan bahawa alumni bukan sahaja menjadi kebanggaan UPSI, malah berpotensi besar sebagai pemangkin pembangunan komuniti melalui kepakaran dan pengalaman yang dimiliki.

Selain sesi ucapan, program ini turut memberi ruang kepada sesi ramah mesra, pertukaran pengalaman dan perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan maritim, pelancongan komuniti serta program kesukarelawanan. Suasana penuh mesra terpancar apabila para alumni beramah-tamah sambil mengenang kembali pengalaman di UPSI, disusuli sesi fotografi sebagai tanda kenangan.

Kehadiran penganjur dan tetamu kehormat ke Pulau Redang bukan sahaja merapatkan hubungan antara alumni dan komuniti setempat, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan ilmu, profesionalisme dan kemasyarakatan. Program ini juga telah mencetuskan semangat baharu untuk menjadikannya sebagai acara tahunan yang mampu memberi manfaat khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan komuniti setempat.

Penganjur menzahirkan harapan agar inisiatif sebegini dapat diperluas ke pulau-pulau lain di seluruh negara. Dengan kekuatan jaringan alumni yang luas, usaha membina komuniti berdaya saing dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh. Seperti yang disimpulkan oleh Prof. Dr. Norkhalid, “Jarak bukanlah pemisah, tetapi jambatan yang menghubungkan hati dan matlamat bersama untuk kemajuan.”