Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Andrew Gani Anak Leonard
Sarawak, 8 September 2025 – Program Perantis Guru (PPG) merupakan salah satu kursus penting di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang memberi peluang awal kepada bakal pendidik untuk mendekati realiti dunia persekolahan. Kursus yang dikenali dengan kod KPR3072 ini ditawarkan kepada 104 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Khas, AT10. Pada sesi pengajian A251, seramai sembilan orang perantis guru telah ditempatkan di beberapa buah sekolah menengah di Sarawak bermula 28 Julai hingga 22 Ogos 2025 bagi mengikuti latihan intensif ini.
Secara asasnya, kursus ini dirangka untuk membolehkan pelajar memahami persekitaran, budaya dan warga sekolah secara menyeluruh. Selain itu, ia membuka ruang kepada mereka untuk mengaitkan secara kritikal Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan profesion perguruan. Pendedahan awal ini dilaksanakan melalui pemerhatian, perbincangan, pengajaran serta penglibatan dalam aktiviti pengurusan dan kokurikulum sekolah. Justeru, pengalaman yang diraih menjadi asas kukuh sebelum mereka melangkah ke fasa Kursus Latihan Mengajar yang lebih mencabar pada masa akan datang.


Sepanjang empat minggu pelaksanaan, program ini disusun secara berfasa mengikut fokus mingguan. Pada minggu pertama, perantis guru meneliti struktur organisasi sekolah, demografi murid, serta pengurusan kurikulum dan kokurikulum. Pemerhatian turut dibuat terhadap budaya sekolah dan tingkah laku murid. Minggu kedua memberi penekanan kepada penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dengan bimbingan guru pembimbing. Seterusnya, pada minggu ketiga, pelajar diberi peluang mengajar bersama guru pembimbing sebelum melaksanakan pengajaran individu yang diikuti dengan penulisan refleksi. Minggu terakhir pula menuntut penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan pengurusan sekolah. Pendekatan berfasa ini berjaya memastikan pencapaian hasil pembelajaran kursus, iaitu kemampuan untuk menerangkan budaya sekolah secara kritikal, menganalisis pengajaran, mengaplikasikan pengetahuan pedagogi serta melaporkan penglibatan dalam aktiviti pengurusan dan kokurikulum.


Pengalaman yang dilalui setiap perantis guru di Sarawak amat berbeza dan sarat dengan nilai pembelajaran. Misalnya, Farah Norshahidah Zulkiflie yang ditempatkan di SMK Bandar Samariang menyedari bahawa mengajar Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) memerlukan tahap kesabaran, kreativiti dan fleksibiliti yang tinggi. Stephanie Amy anak Patricia Iny di SMK Dato Permaisuri Miri, pula menimba pengalaman dalam mengurus bilik darjah, melaksanakan PdP dan menyertai aktiviti sekolah berasaskan pendidikan holistik. Valerie Nita Mason anak Moses Mason di SMK Sri Aman aktif menyertai program seperti Hari Muafakat, Warna-Warni Merdeka dan aktiviti jualan makanan yang berjaya mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama dan kreativiti. Syrelyn anak Misol di SMK Bau mendapat manfaat besar daripada bimbingan guru dalam mempelajari teknik pengajaran serta mengurus murid dengan pelbagai tahap keupayaan. Sementara itu, Mohd Aidil Zukanain Iman Razali memperoleh pendedahan luas tentang pengurusan organisasi sekolah serta aspek pedagogi yang bakal menjadi panduan berharga dalam kerjayanya kelak.
Program Perantis Guru UPSI 2025 yang dilaksanakan di Sarawak bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada bakal guru, malah turut menyemai nilai empati, dedikasi dan jati diri dalam diri mereka. Program ini membuktikan bahawa latihan berfokus kepada pengalaman sebenar mampu melahirkan guru yang profesional, prihatin dan bersedia memikul aspirasi pendidikan negara. Dari Bumi Kenyalang, lahir generasi pendidik yang akan terus mengangkat martabat pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.
