Oleh: Prof Madya Dr. Abdul Halim Masnan dan Dr. Hapsah Md Yusof
Putrajaya, 15 Ogos 2025 – Usaha menanam benih integriti sejak usia awal kini melangkah setapak lagi. Hasil kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI yang diketuai oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui pembangunan Modul Interaktif Penerapan Nilai-Nilai Murni di Prasekolah, (Modul Integrity Edukids) mendapat pengiktirafan dan sokongan tinggi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Modul Integrity Edukids dibangunkan dengan matlamat menerapkan nilai murni, integriti, dan amalan anti-rasuah sejak di peringkat prasekolah.
Pendekatan pembelajaran yang digunakan adalah interaktif, kreatif, dan mesra kanak-kanak, bagi memastikan nilai-nilai tersebut dapat dihayati secara semula jadi.
Prof Madya Dr. Abdul Halim Masnan, dan Dr. Hapsah Md Yusof berjaya membentangkan hasil dapatan kajian di hadapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan barisan pegawai kanan SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 15 Ogos 2025.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir (UUM), telah memberi mandat kepada tiga wakil penyelidik daripada FPM UPSI ini untuk memastikan kesinambungan aspek bengkel pelatihan guru yang bersesuaian dengan menggunakan produk ini.
Modul Integrity Edukids ialah sebuah modul interaktif yang dibangunkan untuk menerapkan nilai-nilai murni dan integriti kepada murid prasekolah secara menyeronokkan dan mudah difahami.
Ia selaras dengan keperluan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang menekankan pembinaan sahsiah, disiplin, dan pembentukan akhlak sejak usia awal.
Berdasarkan pandangan Tan Sri Azam Baki selepas pembentangan penyelidik UPSI, beliau telah menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelidik atas usaha yang disifatkan selari dengan aspirasi negara membina generasi berintegriti.
Modul ini melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti untuk membina dan mengukuh nilai-nilai murni serta moral mereka. Beliau berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan rintis kepada 1,000 prasekolah di seluruh Malaysia.
Berdasarkan respon yang baik daripada guru-guru rintis yang menggunakan produk ini, penyelidik telah meningkatkan usaha kesahan produk ini dengan menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Kejayaan produk beserta modul ini akhirnya diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi Pingat Emas (Gold) dan Best of Gold dalam pertandingan inovasi Eduinnovate yang berlangsung pada Mei 2025 di UPSI.


Peluncuran rasmi Modul Integrity Edukids dijadualkan dalam tahun 2025 ini, menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh pendidikan integriti sejak usia awal.
Kajian ini dibiayai sepenuhnya oleh SPRM ini diharapkan dapat memberi impak dan manfaat kepada kesemua pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta.
Kejayaan memenangi anugerah inovasi terbaik dalam kalangan pemenang anugerah ema ini menjadi bukti bahawa kolaborasi antara universiti dan agensi kerajaan mampu melahirkan inovasi pendidikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan negara.

