Oleh: Nur Syasya Izzati Kamarul Rizad dan Farhana Nohrin Mohd Anuar

Tanjong Malim, 18 Ogos 2025 – Bengkel Ukulele! – Bengkel Mempelajari budaya dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak (Teknik Asas Ukulele) merupakan salah satu program yang diadakan oleh Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak semester 4 di bawah kursus Pengajian Sosial dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak, KAI1063, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.

Penceramah jemputan bagi mengendalikan bengkel ini adalah pensyarah Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Mohamad Shukri Ishak serta seramai 68 orang pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak semester 4 menghadiri bengkel ini.

Program yang dijalankan pada minggu kelima kuliah ini adalah sebagai  suatu inisiatif yang dapat memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa/i  Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dalam mendalami cara atau kaedah untuk mempelajari ilmu-ilmu kebudayaan yang ada di Malaysia dan menerapkannya dalam pendidikan awal kanak-kanak yang boleh diaplikasikan kepada kanak-kanak.

Selain itu, pelajar juga akan mempelajari pelbagai aspek dalam kebudayaan antaranya adalah makanan, pakaian, perayaan dan juga alat muzik. 

Melalui program ini, mahasiswa/i juga berpeluang untuk mengetahui dan menerangkan cara pengurusan, pentadbiran sesebuah program yang sistematik dan berkesan.

Di samping itu, Pengajian Sosial dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak (KAI1063) merupakan kursus yang wajib diambil bagi pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Pengalaman sebenar berada di lapangan untuk mengendalikan pengurusan program bersama-sama dengan kanak-kanak akan meningkatkan lagi kemahiran dan pengalaman para pelajar Diploma PAKK.

Pengisian utama program  ini adalah memberi penekanan dan peluang kepada mahasiswa/i kursus untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari berkaitan teknik- teknik asas dan menggunakan lagu kanak-kanak yang telah dipelajari untuk mengadakan teater ataupun kegunaan ketika di alam pekerjaan kelak.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 1, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  ini memberi pendedahan kepada pelajar diberi peluang untuk mengamati dan mengaplikasikan ilmu atau pemahaman mereka tentang penggunaan ukulele dengan lebih mendalam.

Dalam hal ini juga, program ini memberi ruang kepada pelajar untuk menggunakan kreativiti mereka serta meningkatkan kecekapan dalam merancang dan melaksanakan program intervensi berkaitan penjagaan awal kanak-kanak.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada pukul 8.00 am hingga 8.30 am.Seterusnya, aktiviti pengajaran slot 1 dilaksanakan bermula 9.00 pagi hingga 10.00 pagi. Slot ini dimulakan dengan memperkenalkan kepelbagaian budaya dalam muzik.

Seterusnya disambung semula dengan Slot 2 untuk mempelajari keunikan muzik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Slot ke-3 diteruskan lagi dengan sesi amali di mana para pelajar mempelajari alat muzik ukulele secara praktikal dengan gubahan-gubahan lagu yang menarik.

Program ini berakhir dengan majlis penutup dengan ucapan daripada penyelaras kursus KAI1063 iaitu Puan Farhana Nohrin binti Mohd Anuar.

Melalui ucapan beliau, beliau berharap untuk para pelajar memahami dan dapat mempraktikkan kemahiran dan kaedah-kaedah yang telah dipelajari pada kegunaan di masa depan.

Pada masa yang sama, pelajar dapat menimba pengalaman melalui program yang dianjurkan bersama ini.

Program ini memerlukan perancangan yang rapi dari pelbagai aspek pengelolaan program bagi memastikan program berjalan lancar dari awal hingga akhirnya.

Program ini berjaya mencapai objektif yang dimatlamatkan iaitu meningkatkan kreativiti dan kemahiran penggunaan alat muzik yang relevan dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak.

Bengkel Ukulele ini bukan sahaja dapat memperluaskan pemahaman dan pengetahuan tentang kepentingan untuk menggunakan pelbagai medium untuk menarik minat kanak-kanak dalam sesi pembelajaran.

Program ini berakhir dengan sesi fotografi bersama penceramah jemputan dan Vip serta pelajar kursus.Tahniah diucapkan kepada semua yang bersama-sama menjayakan program ini.

Semoga dengan peluang ini dapat memberi semangat dan idea yang lebih kreatif diterapkannya dalam sesi pembelajaran kelak.