Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon, Profesor Madya Dr. Fanny Kho Chee Yuet dan Puan Zuraidah Maliki
Tanjong Malim, 20 Ogos 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dengan kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) telah menganjurkan Sesi Perkongsian Perancangan dan Pelaksanaan Program Akademik Pesisir bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Blok 9, KSAS. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini menghimpunkan para dekan, penyelaras program pesisir, wakil bendahari serta tenaga akademik pelbagai fakulti dengan tujuan menyelaras strategi, hala tuju dan keberkesanan pelaksanaan akademik pesisir.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPM, Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kejayaan program pesisir bergantung kepada penyelarasan rentas fakulti yang mantap. Menurut beliau, kolaborasi strategik ini bukan sahaja penting bagi memastikan kualiti akademik terjamin tetapi juga berupaya memenuhi aspirasi universiti dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar di pelbagai lokasi, khususnya di luar kampus utama.

Sesi perkongsian pertama menampilkan Encik Abu Bakar Yusuf, Penyelaras Program Pesisir FPM yang berkongsi pengalaman praktikal dalam menguruskan aspek akademik program pesisir. Beliau menyentuh tentang pendekatan pembelajaran hujung minggu yang dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar bekerja, selain penekanan kepada penyediaan fasiliti sokongan pembelajaran yang lengkap. Beliau juga menekankan keperluan strategi berfasa merangkumi pengambilan pelajar, pengurusan jadual tenaga pengajar serta mekanisme pengekalan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Perkongsian kedua disampaikan oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon, Penyelaras Program Sarjana Pendidikan Khas Pesisir Sarawak yang menjelaskan bagaimana program pesisir menjadi platform strategik dalam memperkukuh hala tuju bersama FPE dan FPM. Menurut beliau, inisiatif ini merupakan tonggak penting bagi memperluas capaian pendidikan tinggi di Malaysia, khususnya kepada warga pendidik di Sarawak. Dr. Vestly Kong Liang Soon turut menyatakan bahawa pendekatan pesisir selaras dengan aspirasi UPSI untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat melalui mod hujung minggu serta pembelajaran jarak jauh.

Slot ketiga menampilkan Profesor Madya Dr. Marinah Awang yang mewakili Penyelaras Program Pesisir FPE. Dalam perkongsiannya, beliau berkongsi pengalaman berharga sepanjang mengendalikan program pesisir bersama FPE termasuk cabaran serta kejayaan yang ditempuh bersama para pensyarah. Kisah dan amanat yang disampaikan bukan sahaja menggambarkan komitmen tinggi beliau, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada pensyarah baharu yang sedang terlibat dalam pelaksanaan program pesisir. Beliau turut menyokong bahawa kerjasama erat antara fakulti merupakan kunci utama bagi menjamin kelancaran pengendalian kursus di samping memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa terpelihara.

Manakala perkongsian keempat disampaikan oleh Puan Normadkhah Ardani wakil Bendahari UPSI yang membincangkan aspek pengurusan kewangan program pesisir. Beliau menekankan pentingnya garis panduan kewangan yang jelas serta mekanisme kawalan kos yang teliti bagi memastikan kelestarian jangka panjang program pesisir, selain menjaga integriti serta ketelusan pentadbiran kewangan.
Program diteruskan dengan forum dan sesi soal jawab yang dipengerusikan oleh Dr. Tajul Rosli Shuib. Forum ini membuka ruang dialog interaktif antara peserta dan panel dengan fokus kepada isu tadbir urus, keperluan infrastruktur sokongan serta strategi komunikasi dengan pelajar di pusat pengajian luar kampus. Perbincangan ini memberi peluang kepada peserta untuk melontarkan pandangan dan cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh keberkesanan pelaksanaan program.
Majlis diakhiri dengan sesi rumusan pada jam 12.30 tengah hari. Secara keseluruhannya, para peserta sependapat bahawa sesi ini berjaya menjadi medan kolaborasi fakulti yang bermakna. Ia bukan sahaja memperkukuh hubungan kerja antara FPE dan FPM malah mengukuhkan lagi peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan tinggi negara dalam mendepani cabaran semasa serta memenuhi aspirasi masyarakat untuk akses pendidikan yang lebih inklusif dan fleksibel.
