Oleh : Chew Wei Yee

Tanjong Malim, 1 September 2025 – Kem Bina Insan Bitara (KEBIB)  merupakan salah satu program penyertaan wajib kepada setiap pelajar baharu semester satu.

KEBIB pada kali ini merupakan yang julung kali diadakan kepada pelajar Diploma bawah anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UPSI melalui kelolaan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan kerjasama Persatuan Diploma PAKK, FPM.

Seramai 69 orang peserta daripada pelajar semester 1 Diploma PAKK yang hadir sebagai peserta program, turut dibantu oleh 15 orang fasilitator daripada kalangan pelajar senior Pendidikan Awal Kanak-kanak serta kakitangan FPM.

Objektif utama pelaksanaan kem ini adalah untuk membentuk mahasiswa/i yang BITARA dari segi sahsiah dan jati diri, meningkatkan kemahiran sosial, meningkatkan daya tahan fizikal dan mental, menerapkan nilai disiplin dan tanggungjawab, berkemahiran, semangat berpasukan dan semangat kesukarelawanan melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang 4 hari berlangsung.

Selain itu, para peserta juga dapat memupuk nilai cintakan alam sekitar di samping memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan, kelestarian dan menghormati alam semula jadi.

Aktiviti bermula pada hari pertama kem yang bertempat di UPSI Adventure Park (UAP) iaitu setelah ketibaan di campsite dengan taklimat yang diketuai oleh Kem Komandan, Encik Zul atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zul.

Taklimat ini menekankan peraturan dan tanggungjawab kepada semua peserta agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab sepanjang kem 4 hari ini.

Para peserta juga menimba pengalaman melalui aktiviti memasang khemah di samping aktiviti memasak dapat memupuk semangat kerjasama sesama ahli kumpulan.

Pada sesi petang pula bersama Cik Hawa iaitu daripada Pusat Kaunseling UPSI. Beliau menekankan pengurusan mental dan emosi pelajar agar tiada perkara negatif yang berlaku di samping mengadakan ujian DAS bersama peserta.

Manakala pada sesi malam pula diisi dengan aktiviti penasihatan akademik bagi Program Diploma PAKK. Sesi ini penting kepada peserta untuk mengenali dengan lebih rapat penasihat akademik masing-masing selain memahami tugas dan peranan penasihat akademik sepanjang pengajian Diploma.

Turut dihadiri oleh Dekan FPM, Prof. Madya Dr. Abd Talib, Timb. Dekan Hal Ehwal Pelajar Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Ketua Jabatan PAKK Dr. Seah Siok Peh berserta barisan pensyarah PAKK yang turut hadir.

Pada hari kedua KEBIB ini, iaitu aktiviti jungle trekking berhampiran hutan dara bagi menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. Berada di tengah-tengah hutan, membuka mata pelajar kepada keindahan alam semula jadi. Siswa/i juga berkesempatan menikmati mandi sungai dengan kesejukan air bukit.

Seterusnya slot petang iaitu ‘Bangga UPSI’ bersama Pn. Iylia Binti Mohamad. Slot ini, pelajar dapat mengenali, mengetahui dan memahami sejarah penubuhan UPSI. Pada waktu malam pula, sesi ‘Serlahkan Bakatmu’ bersama Pn. Farhana Nohrin.

Sempena menyambut ambang kemerdekaan yang ke-68, beliau mengendalikan aktiviti face painting, nyanyian persembahan lagu patriotik bersama bonfire dan juga laungan merdeka tepat jam 12 pagi diikuti lagu NegaraKu.

Salah satu slot yang sangat menarik sepanjang kem ini iaitu hari ketiga aktiviti kesukarelawanan, di mana pelajar menjalankan aktiviti gotong-rotong dan mengasingkan barangan terpakai bahan kitar semula di Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barangan Kitar Semula, Tanjung Malim yang diketuai oleh Pn. Habibah.

Aktiviti ini membuatkan semua peserta merasa seronok walaupun penat akan tetapi membawa kesan yang lebih mendalam kepada peserta.

Pada waktu petang pula, slot ‘Anak Kandung Suluh Budiman’ bersama Pn. Norrulkamari selaku penasihat persatuan Diploma PAKK dan slot ‘Oh My Faculty’ oleh TDHEPA, FPM dijalankan bersama peserta di dewan terbuka UAP.

Siswa/i dapat memahami sejarah UPSI bermula dengan SITC sehingga penjenamaan nama ‘UPSI’ kini. Selain itu, pelajar juga dapat mengenali tokoh UPSI yang disegani melalui pelbagai sumbangan kepada UPSI.

Pada malam terakhir KEBIB, slot rumusan bersama Ketua komandan, rumusan dibuat bersama-sama bagi mengenalpasti masalah, perkongsian pengalaman serta penambahbaikan untuk kem akan datang. 

Melalui program KEBIB ini, peserta menunjukkan perubahan positif dari segi disiplin, keyakinan diri serta objektif perlaksanaan kem ini dengan jayanya.

Siswa/i juga lebih meluahkan pengalaman dan rasa seronok dengan menyertai kem ini setelah sekian lama meninggalkan pengalaman berkhemah sejak sekolah menengah yang lalu. 

Selain itu, siswa/i juga lebih berani menyuarakan pandangan, lebih peka terhadap nilai kepimpinan, serta mampu menyesuaikan diri dalam situasi yang mencabar.

Diharapkan semangat yang dibina dalam KEBIB ini akan terus menjadi tradisi yang memberi impak positif kepada peserta dan mereka juga menjadi warga UPSI yang beradab, berakhlak dan berkualiti.

Tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk pihak pengurusan universiti dan fakulti, mustahil kem 4 hari 3 malam ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sekalung penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak. Semoga ketemu lagi KEBIB 2026 akan datang.