UPSI, Tanjong Malim – Seramai 100 pelajar baharu Diploma Kohort E251 dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menyertai Kem Bina Insan Bitara (KEBINA) 2025 yang berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos 2025 bertempat di UAP Campsite, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.
Program selama empat hari tiga malam ini merupakan idea YBhg. Datuk Naib Canselor UPSI sendiri yang bertujuan membina kesepaduan kumpulan, mengukuh nilai sahsiah serta membentuk keperibadian pelajar selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan bitara yang berdaya saing. Ia juga memberi penekanan terhadap pembentukan sikap “Bangga UPSI”, pemupukan adab dan akhlak terpuji, serta nilai kesukarelawanan dan empati, yang menjadi antara teras penting dalam pembentukan identiti pelajar UPSI yang unggul.

Menariknya, ini merupakan penganjuran KEBINA pertama untuk mahasiswa/i Diploma FKMT, bermula dengan kohort E251. Ia menjadi penanda aras baharu kepada FKMT dalam membentuk mahasiswa/i Diploma yang bitara dan holistik bermula pada semester pertama lagi.
Pelbagai aktiviti fizikal dan pembangunan kendiri telah dijalankan seperti Jungle Trekking, Kawad Fajar Murni, Team Building, Orienteering, CSR Kesukarelawanan, serta slot refleksi kendiri seperti Dear Future Self dan Know Yourself. Program ini turut melibatkan 10 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar senior serta dibantu oleh barisan pensyarah dan pentadbir FKMT.
Salah satu pengisian utama yang mencuri tumpuan ialah slot “Oh My Faculty” yang telah dikendalikan sendiri oleh Dekan FKMT, YBrs. Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim. Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi visi dan hala tuju fakulti kepada para pelajar, selain menekankan kepentingan kecemerlangan sahsiah dan akademik secara seimbang dalam menempuh kehidupan sebagai mahasiswa FKMT.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FKMT, Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, dalam satu kenyataan, menyifatkan program seperti KEBINA amat penting dalam membentuk pelajar bukan sahaja dari sudut intelek, tetapi juga emosi dan sosial.
“Pelajar yang kuat secara mental, berjiwa besar, dan mampu bekerja dalam pasukan adalah aset penting kepada fakulti dan negara. KEBINA membina asas itu apabila mereka menjejak kaki ke UPSI,” katanya semasa sesi refleksi bersama peserta.
Seorang peserta, Tuan Muhammad Hail Faris Bin Tuan Idham Sanusi (Diploma Sains Komputer, Semester 1), menyifatkan KEBINA sebagai pengalaman luar biasa yang membentuk dirinya sebagai pelajar lebih bersedia dan bersemangat.
“Program ini membuka mata saya tentang pentingnya kekuatan mental dan emosi, bukan hanya kekuatan fizikal. Saya sangat hargai bimbingan daripada fasilitator dan pensyarah. Saya kini lebih yakin dengan diri sendiri dan lebih jelas arah tuju sebagai pelajar FKMT,” katanya.
Dari segi pengurusan kewangan, program ini dibiayai sepenuhnya menerusi Akaun Amanah Pembangunan Sahsiah FKMT. Perbelanjaan tersebut merangkumi penyediaan makanan, bayaran fasilitator, bahan keperluan aktiviti, ubat-ubatan serta barangan untuk aktiviti kesukarelawanan. Pengurusan bajet yang teratur dan telus membuktikan komitmen fakulti dalam menjayakan program pembangunan pelajar tanpa membebankan peserta.

Kem Bina Insan Bitara 2025 menjadi bukti nyata keprihatinan FKMT dalam memperkasa pelajar sejak awal pengajian, selaras dengan matlamat UPSI untuk melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki adab, akhlak, sahsiah tinggi dan berjiwa masyarakat.
