UPSI, Tanjong Malim – Pertandingan Top Coders 2025 peringkat UPSI telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Ogos 2025 (Rabu). Program anjuran Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) ini dilaksanakan dengan kerjasama Data Science Association (DSA) dan Thulija Technologies Sdn. Bhd. Program telah dadakan di Makmal IT, Oktagon, FKMT.

Pertandingan ini mengetengahkan elemen-elemen penting dalam pembangunan perisian dengan memberi fokus kepada bahasa pengaturcaraan Python, sejajar dengan keperluan industri semasa. Seramai 26 mahasiswa FKMT UPSI telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini di mana setiap pasukan terdiri daripada dua orang peserta.
Antara objektif utama pertandingan ini ialah untuk mencungkil dan memperkasakan bakat mahasiswa FKMT UPSI dalam bidang pengaturcaraan di samping menekankan kepentingan pemikiran komputasional seperti kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikir secara logik.
Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi. Seterusnya, ucapan aluan disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FKMT, Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, yang menyatakan harapan agar pertandingan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar dalam bidang teknologi maklumat.

“Program seperti ini bukan sekadar menguji kemahiran teknikal pelajar, tetapi turut membina semangat kerjasama, kreativiti, dan keyakinan diri. Ini adalah nilai-nilai penting dalam melahirkan graduan bitara yang mampu bersaing secara global. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ts. Muhammad Zulhilmi bin Samsuri, Pensyarah Pelatih di FKMT yang bertindak sebagai watak utama dalam menjayakan program ini. Juga terima kasih kepada pihak Thulija Technologies Sdn. Bhd. sebagai penganjur kerana memberi peluang kepada FKMT untuk turut serta dalam pertandingan Top Coders 2025” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.
Pertandingan dimulakan secara rasmi pada jam 10.00 pagi, diikuti sesi penjurian pada tengah hari. Majlis penutup yang berlangsung pada jam 2.00 petang menyaksikan pengumuman pemenang serta penyampaian sijil kepada semua peserta.
Lima pasukan terbaik telah dipilih sebagai “Top 5” dan akan mewakili UPSI ke Pertandingan Top Coders Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2025 di Universiti Cyberjaya (UOC). Pemilihan ini berdasarkan kreativiti penyelesaian masalah, ketepatan kod, serta kebolehan teknikal dalam bahasa Python dan lain-lain yang ditampilkan sepanjang pertandingan.
Peserta dari Kumpulan AlBinauric, Sdr. Thaqif Dzakirin bin Razarous dan Sdr. Saiful Fikri bin Shahrum daripada Diploma Sains Komputer, Semester 4, meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas peluang yang diberikan:
“Ini pengalaman pertama kami menyertai pertandingan pengaturcaraan, dan saya sangat berbangga dapat mewakili UPSI ke peringkat kebangsaan. Pertandingan ini sangat mencabar, tapi juga menyeronokkan. Kami belajar banyak perkara dalam masa yang singkat, terutama tentang Python dan pentingnya kerjasama berpasukan.”
Program ini turut mendapat sokongan agensi luar seperti MDEC, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Rakan Muda sebagai bukti komitmen dalam memperkasa bakat digital anak muda negara.

Top Coders 2025 membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja berdaya saing dalam aspek akademik, malah bersedia menjadi peneraju teknologi masa hadapan.
