Delegasi UPSI Bergambar BerkumpulanDelegasi UPSI Bergambar Berkumpulan

Oleh: Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah dan Nur Farhan Mohd Yusoff

Jerantut, 9 September 2025 – Delegasi UPSI diketuai oleh  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar mengadakan lawatan rasmi pada hari ini ke Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyah Cawangan Pulau Tawar, sebuah Madrasah yang berasaskan pendidikan tahfiz dan TVET pertanian yang terletak di Jerantut.

Lawatan ini bertujuan untuk menjalin kerjasama strategik dalam penerbitan buku berkaitan metodologi pengajaran, pengurusan kepimpinan tahfiz, madrasah dan pondok. Inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh dokumentasi ilmu serta membuka ruang inovasi kurikulum pendidikan Islam tradisi agar lebih relevan dengan cabaran semasa.

Meninjau Perternakan Kuda

Delegasi UPSI disambut disecara langsung oleh Dato’ Maulana Haji Cik Wan Helmi  Wan Mohamed, tokoh ulama yang sangat dihormati di negeri Pahang.  Menurut Profesor Dr Suriani Abu Bakar, UPSI melihat institusi tahfiz, pondok dan madrasah sebagai tunjang penting dalam pembinaan tamadun ilmu Islam di negara ini.

“Dengan adanya kolaborasi strategik dalam bentuk penerbitan, kita bukan sahaja mendokumentasikan metodologi dan amalan terbaik, tetapi juga memberi nilai tambah kepada pembangunan kurikulum yang bersepadu dengan kemahiran abad ke-21.” tambah Profesor Dr Suriani.

Lawatan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu turut disertai Pengarah Pejabat Karang Mengarang, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah.

Delegasi Berada di Pusara Mat Kilau

“Lawatan ini sangat mengujakan kerana ia memperlihatkan potensi besar pendidikan Madrasah yang diperkaya dengan elemen TVET. UPSI yakin kerjasama ini akan memberi implikasi besar kepada dunia pendidikan tahfiz, madrasah dan pondok, serta memperkukuh peranan UPSI sebagai rakan strategik dalam memperkasa institusi pendidikan Islam tradisi dengan pendekatan moden.” kata Dr Nordiana.

Selain hafazan al-Quran yang dijalankan pada waktu pagi hingga tengah hari, para pelajar maahad turut dilatih dalam aktiviti TVET pertanian seperti penternakan kuda, kambing susu, kambing biri-biri, ayam kampung, itik, penanaman bendi dan peria, serta pengurusan akuakultur ikan keli dan patin. Selain itu, madrasah ini turut menyediakan aktiviti berkuda kepada para pelajar.

Lebih istimewa, madrasah ini beroperasi di kawasan tapak bersejarah perkampungan Mat Kilau dengan rumah dan surau pahlawan ulung itu kini dijadikan pusat pembelajaran Madrasah.

Sesungguhnya lawatan ini membuka ruang kerjasama lebih luas termasuk pemantapan sekolah tahfiz berasaskan TVET, pembangunan prosedur kerja dan penghasilan buku rujukan yang bakal diterajui UPSI bersama pihak madrasah.