oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim, 8 Oktober 2025 – Setiausaha Pejabat N6, Institut Pengajian Siswazah, Dr Muhammad Nur Aizuddin Abdul Rahman muncul Juara Keseluruhan Pertandingan Tenpin Boling Apresiasi Alumni,Team Tenpin Boling Pejabat Karang Mengarang (PKM) (TASTE FIGURA PKM) yang berlangsung pada hari ini bertempat di UPSI Sports Bowl.
Dalam Kejohanan Boling Amatur UPSI yang memasuki siri ke-137 itu, menyaksikan Dr Aizuddin memperoleh 472 jatuhan pin dan menang Juara Pusingan 1 (190 jatuhan pin) serta Juara Kategori Lelaki.
Tempat kedua menjadi milik bekas juara siri ke-95, Mohd Shaharuddin Ahmad, Penolong Jurutera JA5, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) yang mendapat 467 jatuhan pin kurang 5 jatuhan pin daripada Dr Aizuddin.
Shaharuddin juga berjaya menjadi Juara Pusingan 2 (156 jatuhan pin) dan Naib Juara bagi Kategori Lelaki.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Syed Mohd Adib Syed Mohd, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat FA6, Bahagian Sumber Manusia dengan 384 jatuhan pin. Syed Adib juga menang Juara Pusingan 3 dengan 157 jatuhan pin selain mendapat Tempat Ketiga Kategori Lelaki.
Kedudukan keempat menjadi milik Ahmad Janatul Firdaus (336 jatuhan pin) manakala tempat kelima disandang oleh, juara siri ke-121, Muhammad Shahrul Mizan Mohamed Nizam (331 jatuhan pin).



Sementara itu, Nor Azura Mustafa Bakri menang Juara Kategori Wanita dengan 315 jatuhan pin manakala Naib Juara dimenangi oleh Siti Hasinah ASM Nagoor Gany dengan 261 jatuhan pin.
Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, PKM yang juga Pengasas Kejohanan Boling Amatur UPSI, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain.
Menurut Ahmad Janatul, pertandingan ini merupakan kesinambungan program lepas untuk meneruskan momentum pemain boling/atlet/bakal atlet PKM/Kontinjen Kapten Yazid dan juga jemputan Alumni Kejohanan untuk sama-sama memajukan diri melalui teknik dan kemahiran bermain boling.
Sepanjang pertandingan, medal kepada peserta yang mencatatkan jatuhan strike disampaikan secara langsung. Juara Strike bagi TASTE FIGURA PKM kali ini dimenangi oleh Dr Aizuddin (11 strike), Naib Juara disandang Shahrul Mizan (6 strike) dan tempat ketiga dimenangi secara bersama oleh Shaharuddin dan Syed Adib (5 strike).

