Oleh: Muhammad Afizi Zazani Muddin
Tanjong Malim, 19 September 2025- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan sebuah program Teach Korea di Prince Sultan Islamic School, Itaewon, Korea Selatan. Program berimpak tinggi ini merupakan satu bentuk jalinan kerjasama antarabangsa yang menyasarkan pemindahan ilmu, perkongsian pengalaman, serta penerapan kemahiran insaniah kepada pelajar sekolah berkenaan.

Sebagai universiti pendidikan tersohor di Malaysia, UPSI sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah dan kompetensi mahasiswa. Peranan MPP sebagai barisan kepimpinan pelajar bukan sekadar terbatas di peringkat kampus, malah diperluaskan hingga ke pentas global. Justeru, inisiatif membawa program ini ke Prince Sultan Islamic School membuktikan kemampuan MPP UPSI sidang 2023/2024 dalam merangka program yang mampu menyumbang manfaat kepada komuniti pendidikan antarabangsa.
Program ini menekankan dua aspek utama iaitu pembelajaran aktif (active learning) dan pembangunan kemahiran komunikasi. Para pelajar Prince Sultan Islamic School didedahkan dengan aktiviti berbentuk permainan interaktif, serta sesi perbincangan kumpulan. Kaedah ini memberi peluang kepada mereka untuk bergerak aktif, berkolaborasi dalam pasukan, dan membina daya kepimpinan sejak di bangku sekolah.

Selain itu, mahasiswa UPSI turut berkongsi pengalaman mereka sebagai pelajar universiti pendidikan, termasuk kaedah pembelajaran berkesan, dan cara membina keyakinan diri. Aktiviti ini bukan sahaja memupuk suasana pembelajaran yang menyeronokkan, malah membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk mencontohi semangat kepimpinan dan keterampilan mahasiswa UPSI.

Salah satu impak paling ketara daripada program ini ialah peningkatan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar Prince Sultan Islamic School. Melalui interaksi langsung dengan mahasiswa UPSI, mereka dapat melatih kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris, menguasai teknik penyampaian idea dengan jelas, dan berani menyuarakan pandangan. Pendedahan ini amat penting dalam membentuk generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan.

Pelaksanaan program Teach Korea ini membawa impak besar terhadap kedua-dua institusi. Pelajar sekolah mendapat suntikan motivasi, ilmu, dan kemahiran insaniah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sementara itu, mahasiswa UPSI pula berpeluang memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi antarabangsa, serta memperluas jaringan pendidikan global.
Kejayaan ini sekaligus mengangkat nama MPP UPSI sidang 2023/2024 sebagai barisan kepimpinan pelajar yang progresif, berwawasan, dan berupaya menjadi jambatan kepada hubungan antarabangsa. Inisiatif sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang agar UPSI terus dikenali bukan sahaja sebagai peneraju pendidikan negara, tetapi juga sebagai penyumbang kepada agenda pendidikan dunia.
