Oleh: Nazirul Haizri

TANJONG MALIM, 1 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Alumni dengan kerjasama Alumni China telah melakar sejarah apabila menganjurkan Majlis Perasmian Rangkaian Alumni China secara dalam talian menerusi platform Voov Meeting. Program yang berlangsung dari jam 9.00 hingga 10.00 malam itu berjaya menghimpunkan seramai 62 orang Alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) pelbagai era yang kini berada di China.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Lee Hoi Yeh sebelum diteruskan dengan ucapan oleh Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Pengarah Pusat Alumni UPSI yang hadir sebagai tetamu utama. Majlis turut diserikan dengan sesi fotografi maya sebagai kenangan bersama, yang menandakan simbolik hubungan erat antara alumni walaupun berada jauh di perantauan.

Sebagai sebahagian daripada agenda perasmian, turut diumumkan pelantikan lima orang pengerusi atau ketua kawasan Rangkaian Alumni China, iaitu Dr. Li Ruilin (Jiangxi), Dr. Liu Shunli (Beijing), Dr. Zhang Qi (Inner Mongolia), Mr. Wang Fengming (Henan) dan Ms. Qi Jing (Xian). Pelantikan ini bertujuan memperkukuh koordinasi aktiviti alumni mengikut wilayah masing-masing serta menghubungkan jaringan alumni secara lebih sistematik. Selain itu, majlis ini turut membuka ruang perbincangan umum mengenai perancangan aktiviti masa depan bersama alumni bagi memperkukuh lagi hubungan dan jaringan kerjasama.

Menurut Dr. Omar Firdaus, penganjuran rangkaian ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan alumni di luar negara selain memartabatkan nama UPSI di peringkat antarabangsa. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para alumni di China yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong universiti, bukan sahaja dalam aspek akademik dan kerjaya, malah juga sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat antarabangsa dengan UPSI.

Penubuhan Rangkaian Alumni China ini selaras dengan aspirasi UPSI untuk memperluas jaringan global dan meningkatkan keterlihatan universiti di mata dunia. Alumni bukan sahaja berperanan sebagai duta tidak rasmi yang memperkenalkan UPSI kepada masyarakat antarabangsa, malah juga sebagai penghubung yang membuka peluang kerjasama pendidikan, penyelidikan, budaya, dan pembangunan profesional.

Program ini turut memberi impak signifikan apabila berjaya merapatkan hubungan antara Pusat Alumni dan komuniti alumni di China, sekali gus membentuk sebuah rangkaian sokongan yang boleh dijadikan rujukan kepada pelajar serta alumni baharu. Selain itu, ia juga membuka peluang kolaborasi akademik, kerjaya, dan kebudayaan dengan pelbagai institusi di China yang berpotensi memperkukuh nama UPSI di persada antarabangsa.

Pusat Alumni UPSI berharap agar Rangkaian Alumni China menjadi titik tolak kepada penubuhan lebih banyak rangkaian alumni antarabangsa di masa hadapan. Inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh peranan alumni sebagai duta universiti, menyumbang kembali kepada alma mater, serta menyemarakkan semangat kekitaan meskipun berada jauh dari tanah air.

Dengan wujudnya rangkaian ini, UPSI optimis bahawa sokongan padu alumni akan terus berkembang, sekali gus memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi pendidikan yang melahirkan graduan berkualiti tinggi serta berpengaruh di pentas dunia.