Oleh: Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib & Prof Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin
Cameron Highlands, 25 September 2025 – Delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berpeluang mengiringi dua orang profesor dari Sarsen Amanszholov East Kazakhstan University (EKU), Prof. Dossan Baigereyev dan Prof. Muratkan Madiyarov, dalam satu lawatan teknikal ke Stesen Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ringlet serta Stesen Meteorologi Malaysia di Cameron Highlands.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dan EKU yang bertujuan memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, khususnya dalam bidang hidrologi, klimatologi dan pengurusan sumber alam sekitar.



Sepanjang lawatan, delegasi telah diberi pendedahan mengenai sistem pemantauan hidrologi yang digunapakai di Malaysia, termasuk kaedah pengumpulan data hujan, paras air sungai, dan aliran permukaan yang diuruskan oleh JPS. Di samping itu, pegawai dari Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Cameron Highlands turut berkongsi pengalaman berkaitan operasi instrumen klimatologi, ramalan cuaca, serta kepentingan data meteorologi dalam penyelidikan perubahan iklim dan amalan pengurusan bencana.
Delegasi EKU melahirkan penghargaan terhadap kepakaran Malaysia dalam mengintegrasikan teknologi dan sistem amaran awal banjir dengan aspek pendidikan komuniti setempat. Perbincangan dua hala yang dijalankan membuka ruang kolaborasi penyelidikan antara UPSI dan EKU, terutamanya dalam kajian fenomena banjir, variabiliti iklim, serta pembangunan kapasiti akademik melalui pertukaran staf dan pelajar.

Pihak UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Cameron Highlands atas kerjasama, masa, dan perkongsian ilmu sepanjang program berkenaan. Lawatan teknikal ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa, malah turut memperluas horizon ilmu dalam kalangan pensyarah dan penyelidik UPSI ke arah pencapaian cemerlang dalam bidang hidrologi dan sains atmosfera.
